|

Penyebaran video perlekeh Islam diselar

BANGI, 22 Disember – “Kita menyelar tindakan pihak-pihak yang menyalahgunakan kemudahan teknologi ICT untuk menyemai fahaman yang bertentangan dengan lunas-lunas perlembagaan negara terutama jika ia mengundang kekeliruan, kebencian atau prejudis terhadap agama Islam, iaitu agama majoriti masyarakat Malaysia dan agama Persekutuan.”

Pengerusi Biro Media & Penerangan ISMA, Dr. Kamil Azmi Tohiran berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyebaran video ‘Musim Hudud’ dan beberapa video lain yang dilihat memperlekehkan syariat Islam baru-baru ini.

Menurutnya, penyebaran video-video sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab dan mencabar kesabaran umat Islam.

Justeru itu kata beliau, kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab supaya mampu menjadi pengajaran. Jika bersikap sambil lewa, kerajaan mungkin bakal dituduh bersekongkol dengan parasit masyarakat ini.

Dalam masa yang sama, Dr. Kamil memuji inisiatif golongan yang memanfaatkan teknologi ICT untuk berdakwah kepada masyarakat, khususnya dengan cara yang kreatif.

“Video dan kemudahan internet adalah satu kombinasi terkini yang mudah, murah dan berkesan untuk kita berkongsi idea atau kefahaman dengan masyarakat umum di seluruh dunia.”

Beliau menegaskan perlunya peperangan dalam alam siber ini dijuarai oleh golongan islamis. Jika tidak, masyarakat akan tenggelam dalam bahan-bahan yang melalaikan dan lebih berbahaya lagi bahan yang menyelitkan idea-idea anti-Islam, liberal, pluralisme dan yang seumpama dengannya.