|

Pengerusi I-Medik Selangor & WP bersama Mufti Perak dalam Forum ‘Halal Farmaseutikal’

IPOH, 27 November - Pengerusi I-Medik Selangor & Wilayah Persekutuan, Prof. Madya Dr. Azizi Ayob telah dijemput untuk menjadi ahli panel dalam “Forum Bersama Mufti Perak” untuk membincangkan isu berkaitan Halal dalam penggunaan ubat-ubatan (Halal Pharmaceutical) bersempena “13th PPIM Annual Scientific Conference” di Hospital Raja Perempuan Bainun di sini.

Acara ini dihadiri lebih 250 orang peserta dari seluruh Malaysia terdiri dari golongan professional seperti pakar dan pegawai perubatan, pergigian, kejururawatan dan juga pelajar perubatan.

Dalam forum ini, Dr. Azizi telah menerangkan beberapa aspek dan tatacara Halal dari sudut shariah dan definisi yang dimaksudkan sesuatu ubat itu boleh dikategorikan Halal dalam proses pembuatan ubat. Ini juga termasuk tatacara halal berdasarkan ‘Malaysian Standard 2424:2020 (P)’ yang baru diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai panduan para pengamal industri farmaseutikal. Panduan tersebut juga sangat berguna kepada orang awam terutamanya orang Islam yang harus peka kepada isu-isu halal ini.

Ketika dihubungi, Dr. Azizi memberitahu bahwa I-Medik berasa berbesar hati kerana terlibat secara langsung dan menyumbangkan pengalaman mereka dalam dunia farmaseutikal terutamanya berkaitan isu halal ini.

Beliau juga menyatakan harapan agar I-Medik akan terus menyumbang dan menggembeling tenaga dengan memberi kesedaran kepada umat Islam peri pentingnya isu halal dan haram dalam pembuatan ubat-ubatan untuk manfaat umat Islam di Malaysia ini. I-Medik juga berkeyakinan untuk memberi sumbangan yang bermakna dari sudut teknikal, ilmu farmaseutikal dan juga aspek shariah supaya orang Islam akan lebih yakin atas status kehalalan sesuatu ubat.