|

Pendirian Hasan Ali utamakan kepentingan umat wajar dicontohi

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman menyeru pemimpin parti-parti politik Melayu Islam di negara ini supaya mencontohi pendirian Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak di luar Pas demi kepentingan umat Islam dan Melayu.

Beliau berkata, kesediaan Hasan itu menunjukkan beliau memegang kuat prinsip perjuangan Islam di negara ini melebihi kepentingan politik, terutama dalam konteks geopolitik negara yang semakin berubah.

Menurut Ustaz Abdullah Zaik, kesanggupan Hasan memikul tanggungjawab sebagai jambatan di antara perpaduan Pas dan UMNO wajar dipuji sehingga beliau tidak kisah jika tidak terpilih sebagai calon Pas pada pilihan raya umum akan datang.

“Sikapnya yang positif untuk bekerjasama dengan UMNO bukan sikap biasa dalam orang-orang Pas yang berpatah arang dengan UMNO, sikap sebegini tidak perlu, jadi apa yang dilakukan oleh Hasan perlu dicontohi.

“Saya minta mereka (Pas) memegang kepada perjuangan yang asal maknanya tidak melihat perpaduan dari kaca mata parti tetapi siasah dan maqasid syariah, bukan sentimen parti semata-mata,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia