Orang Melayu Muslim perlu terus pimpin negara
KUALA LUMPUR - Orang Melayu Muslim yang merupakan bangsa majoriti di Malaysia secara logiknya harus terus diberi mandat untuk menjadi Perdana Menteri dan memimpin negara ini, kata Timbalan Presiden ISMA, En. Aminuddin Yahaya.
Menurut beliau, meskipun Perlembagaan Malaysia tidak menyebut secara spesifik bahawa Perdana Menteri mestilah dari kalangan orang Melayu, namun prinsip ini umumnya telah diterima pakai sejak dahulu hingga sekarang, memandangkan orang Melayu adalah kaum majoriti.
“Negara ini sendiri adalah negara Islam, di mana Perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama persekutuan. Maka apakah mungkin negara Islam akan diperintah oleh bukan Islam.”
En. Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman yang dilontarkan oleh Pemuda DAP dan MCA terhadap kenyataan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar yang dianggap rasis kerana mencabar UMNO supaya meminda perlembagaan bagi menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada bangsa Melayu sahaja.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh Pemuda DAP dan MCA menunjukkan mereka tidak bersetuju negara ini mesti dipimpin oleh orang Melayu Muslim. Sikap sebegini menunjukkan bagaimana mereka cuba mengambil kesempatan bagi mencairkan hakikat dan sejarah yang berlaku di dalam negara ini yang majoriti penduduknya orang Melayu dan selama ini pun diperintah oleh orang Melayu.
En. Aminuddin juga menyifatkan perkara ini sebagai cubaan ‘nakal’ yang cuba diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu yang mencabar kedudukan orang Melayu.
“Saya nasihatkan orang Islam supaya meneliti kenyataan-kenyataan ini dan berhati-hati terhadap suntikan yang halus ini. Akhirnya jika diterima boleh melemahkan jati diri orang Melayu dan paling penting akan merosakkan keutuhan agama Islam di negara ini.”


[...] : ISMA Pusat CommentsPowered by Facebook Comments [...]