Kerjasama dakwah mampu banteras ancaman liberalisme
BANDAR BARU BANGI, 5 Disember – Satu pertemuan antara Yang Di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Hulu Langat (ISMA DHL), Saudara Mohd Noor Azib Asmangi dengan YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PPBBB), Dr Tajul Ariffin Noordin telah diadakan untuk menjalin hubungan baik antara kedua-dua organisasi dan mengenal pasti ruang kerjasama dakwah yang boleh dimainkan oleh ISMA DHL bersama PPBBB, dalam mengesani masyarakat di sini.
Setiausaha ISMA DHL, Saudara Khairudin Mohd Ali memberitahu bahawa dalam pertemuan singkat yang diaturkan itu beberapa perkara telah dibincangkan, antaranya program atau kempen selamatkan ummah bersempena tahun baru 2012 serta kemudahan dewan yang bakal dimanfaatkan orang ramai di Kompleks Pendidikan Seksyen 16 yang dijangka siap pertengahan 2012.
Beliau menambah, “Pertemuan berikutnya akan diadakan bersama Timbalan YDP merangkap Ketua Biro Dakwah PPBBB, Hj Ghazali Abbas, bagi membincangkan butiran lanjut bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan.”
Menurut Saudara Azib, “Apa yang kita hajatkan ialah usahasama untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah Islam antaranya untuk menjelaskan ancaman liberal yang makin menghambat umat Islam. Kita (ISMA) boleh menyumbang tenaga dan PPBBB boleh memberikan sokongan dan juga mungkin bantuan dana.”
“Saya lihat ISMA ramai tenaga muda yang sangat bagus dan kerjasama ini sangat tepat pada masanya,” ulas Dr. Tajul semasa beliau mempelawa untuk ahli ISMA terlibat lebih aktif dalam persatuan penduduk.
Sumber: Laman Web ISMA Hulu Langat


