KDN digesa tarik balik keputusan tidak tapis filem
BANGI, 22 Disember – Kementerian Dalam Negeri digesa menarik balik keputusan yang dibuat berhubung tiada lagi tapisan filem yang akan dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) berkuatkuasa tahun hadapan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam semalam, tanggungjawab penapisan tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada pengarah dan penerbit filem.
Menurutnya, langkah itu diambil selepas mencapai kata sepakat dari semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara demi memenuhi kehendak masyarakat yang inginkan kebebasan di dalam industri perfileman.
Namun Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memandang serius berhubung keputusan berkenaan yang dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada masyarakat terutamanya dalam aspek jati diri.
Menurut Naib Presiden I ISMA, Abdul Rahman Mat Dali, nilai akidah dan jati diri adalah lebih besar dan perlu dititikberatkan terlebih dahulu dibandingkan dengan nilai ekonomi yang hanya memberi keuntungan kepada pihak-pihak yang berkaitan di dalam industri perfileman.
“Jika pihak kerajaan serius di dalam percaturan liberalisasi dari segi ekonomi dengan mengenakan pelbagai cukai dan sebagainya, di mana pula tindakan yang harus diambil oleh pihak kerajaan dari segi menjaga nilai akidah serta jati diri masyarakat?”
Berdasarkan data yang diperolehi bagi tahun 2010, terdapat sejumlah 54.29 juta orang penonton filem yang memberi gambaran jelas bahawa kesan filem terhadap masyarakat adalah sangat besar.
Malah, paling membimbangkan apabila 32 juta penonton lebih cenderung untuk menonton filem antarabangsa, sementara hanya 9 juta penonton sahaja bagi filem tempatan apabila dilihat dari aspek klasifikasi filem.
Abdul Rahman berkata, di sebalik kebebasan yang diinginkan oleh penonton, pihak-pihak yang menjayakan industri perfileman dilihat lebih mementingkan keuntungan semata-mata.
Selain itu katanya, tiada spesifikasi tindakan yang telah diputuskan oleh mana-mana pihak atasan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, dan hal ini mampu memberi kesan negatif daripada agenda liberalisasi terhadap masyarakat.
Justeru itu, menurut beliau, ISMA mendesak agar pihak kerajaan prihatin dan mengambil tindakan tegas berhubung isu tersebut, sekaligus meminta KDN dan agensi di bawahnya menarik balik keputusan yang telah dibuat serta tidak lari dari tugas yang telah dipertanggungjawabkan.

