ISMA Seremban giat bangunkan jati diri generasi muda
SEREMBAN, 14 Disember – Sempena musim cuti persekolahan yang sedang berlangsung, ISMA Cawangan Seremban giat menjalankan usaha membangunkan jati diri generasi muda melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) dan Kelab Remaja ISMA (KRIM), kata Ustaz Haji Zamani Ibrahim, Yang Di-Pertua ISMA Seremban.
Beliau berkata, anak-anak pada hari ini terdedah kepada berbagai-bagai cabaran dan isu negatif sehingga dilihat hilang kekentalan jati diri, rendah moral, tiada berhaluan dan dilanda pelbagai aktiviti yang boleh merosakkan akidah dan keperibadian, sekaligus mengundang kerisauan ibu bapa terutamanya.
“Justeru itu, ISMA Seremban mengambil inisiatif untuk menganjurkan program-program yang memberikan ilmu, pendedahan dan pemahaman dari pelbagai aspek bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dan mempunyai jatidiri yang mantap dalam menghadapi cabaran globalisasi hari ini.”
Menurut Ustaz Zamani, NAZIM menganjurkan Kem Huffaz Cilik untuk anak-anak sekolah rendah yang bermatlamat untuk mendidik mereka supaya menghafaz dan mencintai Al-Quran sejak dari usia kecil, selain mengisi masa mereka dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat.
Program ini dilaksanakan di peringkat syukbah (kawasan) yang melibatkan enam syukbah iaitu Panchor, Sikamat, Senawang, Pantai, Seremban Jaya dan Rembau, di mana penyertaan yang diterima di semua kawasan sangat menggalakkan.
Sepanjang program, para peserta dikehendaki menghafaz surah-surah daripada juz 30 dan surah-surah pilihan, serta diselitkan dengan solat sunat Dhuha, penyampaian kisah tokoh-tokoh Islam, tayangan multimedia dan ceramah.
KRIM pula katanya, telah menganjurkan Kem Remaja Muslim yang melibatkan para pelajar sekolah menengah di seluruh Negeri Sembilan bagi memantapkan jati diri mereka dengan sifat-sifat muslim sebenar.
Menurut beliau, penyertaan golongan remaja dalam program ini juga begitu baik dengan kehadiran peserta melebihi sasaran awal yang telah ditetapkan.
Sumber: Laman Web ISMA Negeri Sembilan


