Huffaz Cilik terima sambutan memberangsangkan
SEREMBAN, 13 Disember – Kem Huffaz Cilik anjuran Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM) di bawah ISMA Cawangan Seremban yang dilaksanakan di Syukbah Panchor bermula semalam telah mendapat sambutan amat merangsangkan dengan penyertaan melebihi sasaran yang ditetapkan.
Menurut Hj. Omar bin Kassim, Setiausaha ISMA Seremban, pihak penganjur meletakkan sasaran awal peserta seramai 60 orang di kalangan pelajar sekolah rendah tetapi penyertaan yang diterima pada hari pendaftaran program semalam mencecah 125 orang.
Beliau berkata, program selama lima hari ini diadakan sempena musim cuti sekolah bagi memastikan jiwa dan masa anak-anak diisi dengan aktiviti yang bermanfaat.
Selain itu katanya, penganjuran Kem Huffaz Cilik ini bertujuan untuk menanam minat mereka supaya menghafaz dan mencintai Al-Quran sejak dari usia kecil.
Sepanjang program, para peserta dikehendaki menghafaz surah-surah daripada juz 30 dan surah-surah pilihan, di samping diisi dengan penyampaian kisah tokoh-tokoh Islam, tayangan multimedia dan ceramah kesihatan.
Selain Panchor, ISMA Seremban turut melaksanakan Kem Huffaz Cilik ini di lima syukbah (kawasan) lain iaitu Sikamat, Senawang, Pantai, Seremban Jaya dan Rembau.
Sumber: Laman Web ISMA Negeri Sembilan



