|

Hasan Ali perlu tampil dengan imej baru & bebas

BANGI, 21 Disember – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali perlu mengemukakan satu agenda dengan imej baru dan bebas dari dua kelompok parti politik supaya rakyat dapat melihat dengan lebih jelas apakah perjuangan utama yang cuba dipertahankan beliau, kata Pengerusi Biro Latihan dan Kepimpinan ISMA, Ustaz  Mohd Hazizi Bin Abdul Rahman.

Menurut beliau, situasi yang berlaku sekarang jika berlarutan akan menimbulkan perasaan muak di kalangan masyarakat ekoran daripada masalah perpecahan Melayu yang telah lama berlaku, ditambah pula masalah dalaman yang melibatkan pucuk pimpinan parti politik.

“Perkara ini tidak menambah apa-apa yang baru kepada masalah yang ada, iaitu masalah perpecahan orang Melayu dan perpecahan dua parti terbesar Melayu. Dan perkara yang sudah lama berlaku ini dimainkan lagi dan permainan media sebegini akan memuakkan rakyat,” ulas Ustaz Hazizi ketika ditemuramah wartawan Media ISMA hari ini.

Tambahnya, berdasarkan spekulasi yang dibuat oleh Hasan Ali pada sidang media sebelum ini, memperlihatkan beliau seolah-olah bermain dengan bayangan sendiri yang tiada hala tujuan sama ada masih lagi berada di bawah naungan PAS atau UMNO.

Dalam pada itu, Ustaz Hazizi menyatakan mungkin terdapat beberapa pihak yang berseronok apabila melihat Hasan Ali dan beberapa pimpinan pakatan pembangkang seperti tidak sefahaman sehingga memberi impak yang mendalam kepada parti PAS.

“Digambarkan perpecahan dalam PAS, maka pihak yang berkepentingan suka dan seronok melihat perpecahan berlaku. Sebenarnya itu bukanlah jawapan yang kita nak. Jawapan yang kita nak apakah pilihan yang ada pada rakyat sekarang.”