Fatimah Syarha serikan program Kafe Cinta
KOTA KINABALU - Program Kafe Cinta anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kota Kinabalu dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam dan Masjid (UHEIM) Universiti Malaysia Sabah telah berjaya menarik lebih 500 orang peserta di sini.
‘Kafe Cinta’ mengangkat tema membina syurga cinta dan meletakkan objektif untuk memberikan pendedahan kepada remaja dan belia tentang cabaran kehidupan di tengah-tengah dunia yang serba moden. Selain itu, program ini bertujuan memberi kefahaman interaksi islami antara lelaki dan perempuan dan memberi penerangan kepada remaja dan belia mengenai peranan yang perlu dimainkan dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang.
Program yang julung-julung kalinya diadakan di Sabah ini terbahagi kepada dua slot iaitu ceramah “Lautan Api Sanggup Kurenangi” dan forum “Bila Baju Kurung Bertemu Baju Melayu”.
Ceramah telah disampaikan oleh Dr. Mohd Hatta Tarmizi, Pakar Perunding O&G dan Pakar Reproduktif, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas yang juga Naib Yang Di-Pertua ISMA Kota Kinabalu. Beliau menyentuh implikasi gejala sosial seperti seks luar nikah dan seks bebas di kalangan remaja dari aspek kesihatan wanita dan bagaimana peranan yang boleh dimainkan oleh segenap individu, bermula dari orang perseorangan, rakan-rakan, ibu-bapa, masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik untuk mencegah dan menangani permasalahan ini.
Slot forum “Bila Baju Kurung Bertemu Baju Melayu” pula begitu istimewa kerana telah menampilkan novelis yang tidak asing lagi iaitu Ustazah Fatimah Syarha sebagai panelis undangan bersama dengan Ustaz Sarip bin Adul (Yang Di-Pertua ISMA Kota Kinabalu) dan Ustaz Issraq Haji Ramli (Ketua Unit UHEIM UMS), manakala Puan Nurhazlin Mat Musak selaku moderator forum. Forum ini menyentuh aspek hakikat cinta sebelum dan selepas ikatan pernikahan dan isu-isu yang berkaitan dengannya.
Para hadirin juga telah dihiburkan oleh persembahan nasyid oleh kumpulan ‘Nur Salam’ UMS. Antara lagu yang telah disampaikan ialah Selawat ke atas Nabi, Ainul Mardhiah dan Kerana Cinta.
Sumber: Laman Web ISMA Sabah


