Diskusi bicarakan taktik musuh perdaya umat Islam
DUBLIN – Buat julung kalinya, dengan kerjasama Malaysian Society University College Dublin (MSoc UCD), ISMA Eropah membawakan satu diskusi yang membicarakan tajuk ‘The Pawn of the Game’ ataupun Bidak-bidak di Papan Catur ke Dublin, Ireland setelah program sama berkunjung ke Cork dan Galway sebelumnya.
Diskusi ini disampaikan oleh Ustaz Sarip bin Adul, Yang Di-Pertua ISMA Kota Kinabalu yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah dan pensyarah di Universiti Malaysia Sabah.
Bidak-bidak di Papan Catur membincangkan secara terperinci taktik musuh Islam memperdaya dan menggulingkan masyarakat Islam daripada terus menguasai dunia dengan panduan al-Quran dan Sunnah di samping membicarakan usaha menangkis agenda jahat barat dalam membangun umat beragenda.
Melalui gaya penyampaian bersahaja, penuh humour dan adakalanya tegas, Ustaz Sarip dilihat berjaya menitipkan kesedaran kepada hadirin mengenai realiti umat Islam pada zaman ini yang diulit keseronokan membudayakan hedonisme sebagai pegangan hidup sehingga tersungkur sebagai orang terakhir dalam pelbagai bidang yang baik dan menguntungkan, membelakangkan pengangan agama malah dipandang hina masyarakat lain.
Pengisian penceramah turut berkisarkan strategi menyeluruh untuk umat Islam kembali berpedomankan wasiat Rasulullah S.A.W, al-Quran dan Sunnah iaitu menitikberatkan pembangunan jati diri individu Muslim bagi mengembalikan tamadun Islam agar menyinar kembali di muka bumi.
Sumber: Laman Web ISMA Eropah


