|

Apabila singa menjadi kijang

Mendengar berita baru-baru ini tentang penarikan novel Interlok daripada silibus sekolah benar-benar mengecewakan hati saya. Apa tidaknya, buku ini telah ditulis oleh bukan sebarangan orang tetapi seorang Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain. Sudah pasti apabila beliau menukilkan tulisan tersebut ia mempunyai nilai-nilai karya yang kaya dan indah. Adakalanya hanya penulis-penulis saja yang dapat memahami akan keindahan sesebuah karya.

Buku ini telah digunakan selama 20 tahun  tetapi kenapa sekarang baru isu ini berbunyi? Kenapa sekarang ia dibantah? Kenapa pula ahli-ahli politik Melayu samada UMNO atau PAS tidak berbunyi?

Implikasi kepada peristiwa ini bukan hanya terhenti setakat novel Interlok tetapi ia melambangkan :-

1. Kelemahan pihak pemerintah orang Melayu Islam sehingga terpaksa akur dengan kehendak kaum lain. Anehnya apabila kerajaan zaman Tun Razak dahulu melancarkan dasar pendidikan negara dan bahasa kebangsaan dalam usaha untuk menyatukan umat, bangsa lain tidak pula hendak akur malah mereka bantah dan mempertahankan sekolah vernakular mereka. Mereka ingin kekalkan sistem pendidikan dan budaya mereka tersendiri sehingga ke hari ini. Kerajaan terima atas dasar kebebasan kaum.

2. Perpecahan umat Islam yang semakin melebar sehingga tidak ada yang berani berdepan dengan satu kaum yang hanya merangkumi 5% penduduk negara. Memang benar kata Rasulullah saw, umat Islam ibarat buih; banyak tetapi tidak ada kekuatan. Hanya mengikut arus. Kebangkitan Hindraf yang hanya terdiri dari beberapa ribu orang sudah cukup menggegarkan kerajaan di bawah Pak Lah, kini isu Interlok pula mengegarkan kerajaan Najib.

3. Jika ini mereka berjaya, tidak mustahil mereka juga akan mendesak untuk kerajaan mengubah perlembagaan yang memberikan keutamaan kepada Bumiputera dan agama Islam dan SAYA SANGAT-SANGAT YAKIN PEMIMPIN POLITIK MELAYU AKAN MENYOKONGNYA atas dasar “KEADILAN”. Kita tunggu masanya.

4. Orang Islam sudah tidak ada lagi kuasa wewenang untuk membuat keputusan. Semua harus dirujuk dan diambil kira perasaan orang lain sedangkan orang lain tidak pernah sedetik pun memikirkan perasaan umat Islam. Mana maruah kita? Apa guna kuasa jika tidak ada wewenang dalam membuat keputusan? Keadilan Islam bukan hanya tertakluk kepada isu rasuah, kronism, nepotism tetapi yang lebih besar HAK KEBEBASAN DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN.

5. Apa saja berkenaan orang Melayu kini dicabar hatta sejarah negara. Kini sudah ada yang mengatakan bahawa Tanah Melayu pada asalnya adalah sebuah negara Kristian, orang Melayu juga pendatang dan pelbagai lagi. Malangnya tidak ada pemimpin Melayu yang bangkit mempertahankannya. Ada pula yang mengatakan; kita perjuangkan Islam bukan Melayu. Bagi saya kenyataan ini lahir dari seorang yang sangat daif baik dari segi ilmu mahupun dari segi politik. Ilmu; kerana Rasulullah saw sendiri tidak menghalang sifat mencintai bangsa sendiri. Politik; kerana Melayu membawa erti Islam sebagaimana yang tercatat dalam perlembagaan. Menjaga Melayu ertinya tidak secara langsung menjaga Islam.

Banyak lagi kalau ingin ditulis implikasi keputusan Interlok ini. Yang jelas pemimpin Melayu yang mendakwa mereka seperti seekor singa yang garang tetapi kini dilihat tidak lebih dari seperti seekor kijang yang jinak.

MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung