Apa yang nak diubah?
Beberapa hari yang lepas saya berkesempatan berjumpa dengna kawan-kawan satu sekolah rendah dulu. Gembira bukan kepalang kerana sudah 37 tahun kami tidak berjumpa, sedar-sedar masing-masing sudah menampakkan rambut putih. Kalau dulu berbicara tentang kerja sekolah sendiri tapi sekarang kami berbicara tentang sekolah anak-anak pula. Ada juga yang sudah nak dapat menantu. Yang lebih nolstagik ialah pertemuan kami diadakan di sekolah rendah yang kami sama-sama menimba ilmu. Jelas sekali setelah 37 tahun meninggalkan bangunan sekolah tersebut, pelbagai perubahan telah berlaku.
Bangunan tempat kami bermain guli sudah diruntuhkan dan dibina sebuah bangunan lebih tinggi. Padang tempat kami berlari-lari semasa rehat kini sudah tiada lagi tetapi sebaliknya didiami sebuah bangunan yang menempatkan kelas darjah bagi menampung bilangan pelajar yang semakin ramai. Perasaan sedih ada juga, gembira pun ada juga. Sedih kerana tempat-tempat yang menjadi kenangan sudah tiada tetapi gembira kerana sekolah telah banyak berubah dan menampakkan kemajuan yang begitu menggalakkan.
Perubahan satu kemestian
Bercakap tentang perubahan, ia bukan sesuatu yang perlu dibincangkan kerana ia adalah perkara yang pasti dan tidak mungkin boleh ditolak. Baik pada diri manusia itu sendiri maupun pada alam maya ini. Ia adalah fitrah yang perlu bagi meningkatkan keiltizaman manusia terhadap kehendak dan tuntutan Allah swt. Daripada tidak baligh kepada baligh, daripada tidak berilmu kepada berilmu, daripada tidak faham menjadi bertambah faham.
Dalam masa yang sama juga alam persekitaran juga perlu berubah bagi menampung perubahan kepada manusia itu sendiri kerana jika tidak akan berlaku kepincangan dalam hidup. Mana mungkin manusia yang sudah berilmu akan berkayuh menaiki sampan menuju ke Mekah atau ke England.
Perubahan politik
Begitu juga dengan politik. Arus perubahan yang berlaku di dunia kini tidak memungkinkan negara kekal dengan ideologi dan pentadbiran lama. Kehendak dan kecenderungan Generasi Y tidak boleh disamakan dengan Generasi X. Maka sebab itu kita dapat melihat keruntuhan demi keruntuhan terhadap beberapa negara Arab yang bermula dari ketidak puashatian rakyat terhadap sistem pemerintah lama yang mengekalkan sistem kuku besi atau pendewaan kepada pemerintah. Secara ringkasnya pemimpin negara yang gagal berubah pasti akan diubah oleh rakyat sendiri.
Ini satu kepastian !!!
Apa yang perlu diubah?
Nah, persoalannya sekarang, apa yang perlu diubah ?
Dalam keghairahan untuk kita membuat perubahan, kita perlu mengetahui apa yang kita nak ubah dan apa yang harus dikekalkan dan kita perlu mengenepikan segala bentuk emosi. Jika tidak maka perubahan akan hanya membawa kesengsaraan yang berpanjangan.
Apabila mendengar dan membaca pelbagai ucapan dan komen dari kedua-dua pihak, BN & PR, boleh dikatakan tajuk yang mendominasi perbincangan hanyalah sekitar rasuah dan salah una kuasa. Ringkasnya, semua berbentuk maddi. BN cuba menarik hati rakyat dengan mengemukakan pelbagai projek transformasi ekonomi. Manakala PR juga menjanjikan pelbagai perubahan kepada ekonomi dan pendapatan rakyat jika berjaya menawan Putrajaya. Siang malam rakyat dimomokkan dengan isu duit, harta dan kuasa. Seolah-olah kedua-dua pihak tidak sedar bahawa maddi jugalah punca kejatuhan tamadun manusia. Jika BN dikatakan akan jatuh disebabkan harta kekayaan maka tidak hairan PR juga tidak akan berjaya merubah kehidupan rakyat jika sekiranya ia bertunjangkan perubahan hanya dalam konteks harta dan wang ringgit.
Pembangunan aqidah
Jika didengar ucapan di perhimpunan UMNO dan PKR, hampir tidak ada yang membicarakan soal pembangunan aqidah dan akhlaq umat. Yang ada hanya bidas membidas dan mainan emosi. Kalau ada pun yang memperkatakan soal aqidah, hanya sepintas lalu, ala kadar. Tiada kerangka projek memperkuatkan pegangan rakyat kepada agama Islam.
Senario ini sangat membimbangkan seolah-olah kedua-dua pemimpin Melayu sudah hilang punca tentang hakikat perubahan. Yang lebih membimbangkan ialah jika ini kemudiannya menjadi keyakinan dan pegangan kepada umat Islam keseluruhannya. Walhal Rasulullah saw telah menunjukkan dengan jelas dan terang akan metod perubahan. Di mana penasihat-penasihat agama BN dan PKR?
Kebimbangan saya terbukti apabila baru-baru ini saya melihat rakaman ceramah seorang ahli politik Islam begitu memuji dan kagum dengan pimpinan bukan Islam yang dilihat menjejaki langkah Saidina Umar Ibn Aziz (SUIA) dalam konteks menjaga hak rakyat. Alasannya, ekonomi rakyat bertambah baik! Alangkah ceteknya penilaian beliau. Bagaimana pemantapan aqidah yang dibawa SUIA? Kenapa tak dibincangkan?
Kesimpulan
Sebagai umat Islam, kita wajib mempertahankan aqidah. Tidak ada kompromi. Penilaian kita harus berasaskan yang ini maka baru kita dapat menilai perubahan bagaimana yang perlu kita ambil. Jika tidak, maka samada BN atau PR yang memerintah ia tidak menjanjikan apa-apa kebaikan kepada umat.
MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

