|

Perutusan Hari Raya Aidil Adha 1432H oleh Presiden ISMA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

‘Seruan kesatuan dan mentakzim syiar Allah’

Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana pada tahun ini sekali lagi kita diberi peluang untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1432H. Kita dan seluruh umat Islam akan menyambut hari yang agung dengan mengEsakan dan mengagungkan Allah.

لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك

Rebutlah kelebihan Layalin Asyr

Sebelum tiba Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah nanti, kita akan melalui 10 hari yang mempunyai pelbagai kelebihan. Di dalam Al-Quran Allah telah bersumpah dengan 10 hari ini untuk menggambarkan betapa besarnya kelebihan yang ada pada hari-hari tersebut.

1. Demi waktu fajar.

2. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Menurut Imam Ibnu Kathir, malam sepuluh yang dimaksudkan ialah 10 awal Zulhijjah.

Banyak fadhilat dan kelebihan yang disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadis menunjukkan betapa besarnya nilai hari-hari tersebut.Antaranya ialah pahala amalan yang dilakukan pada hari-hari tersebut melebihi pahala berjihad.

فعن ابن عباس t أن رسول الله قال: مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِه(يعني العشر الأوائل من ذي الحجة ) قَالُوا: وَلا الْجِهَادُ؟ قَال:وَلا الْجِهَادُ إِلا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ. رواه البخاري

Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah telah bersabda: Tiada amalan yang lebih afdhal daripada apa yang dilakukan pada 10 awal Zulhijjah. Sahabat bertanya: Sekalipun jihad? Rasulullah menjawab: Sekalipun jihad kecuali seorang lalaki keluar berjihad dan tidak kembali dengan sesuatu pun (mati syahid).Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari.

Pada hari-hari yang mulia ini umat Islam diseru agar memperbanyakkan amalan seperti berzikir, berpuasa, bersedekah dan beriktikaf.

عن ابن عمر رضى الله عنه قال النبي: مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ ولا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ. رواه أحمد

Maksudnya: Tiada hari yang lebih besar di sisi Allah dan tiada amalan yang lebih dicintai melainkan pada hari-hari tersebut, maka perbanyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid.Diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita mengambil manfaat daripada masa-masa yang berharga ini untuk kita beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat.

Seruan kesatuan

Saban tahun berjuta-juta umat Islam membanjiri kota Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Semuanya hadir dengan niat yang sama, iaitu beribadah kepada Allah. Meskipun berbeza latar belakang, taraf kehidupan dan keturunan, namun umat Islam tetap bersama umpama sebuah hati yang tunduk dan patuh kepada Allah.Mereka juga saling membantu sepanjang keberadaan mereka di tanah suci.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Hajj yang bermaksud:

27. “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Ini menunjukkan bahawa umat Islam sebenarnya memiliki kekuatan kesatuan.Semangat kesatuan inilah yang sebenarnya diperlukan untuk membangunkan semula umat ini dan secara tidak langsung kesatuan inilah yang telah menggerunkan musuh sehingga mereka berusaha sedaya upaya agar umat Islam kekal berpecah-pecah.

Keperluan umat Islam

Pada hari ini, umat Islam memerlukan cahaya hidayah yang dapat membimbing mereka ke jalan yang benar dan mengubah keadaan umat Islam. Masih ramai di luar sana masyarakat kita yang beragama Islam akan tetapi tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup. Cahaya iman yang menghidupkan rohani perlu sampai kepada seluruh masyarakat.Oleh yang demikian, para pendakwah seharusnya tekun berdakwah dan mencari alternatif terbaik agar dakwah diterima.

Selain itu, umat Islam amat-amat memerlukan kesatuan kerana hanya dengan kesatuan sahaja umat Islam terpelihara daripada terus diancam oleh ancaman-ancaman dalaman dan luaran. Dengan menzahirkan kesatuan dan kekuatan, Islam tidak lagi akan dipandang rendah atau dihina malah kedudukan Islam akan diangkat  ke tempat yang selayaknya.

Saya menyeru umat Islam di negara ini supaya mengambil pengajaran daripada peristiwa haji ini untuk bersatu dan berpadu demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

Mentakzim syiar-syiar Allah

Marilah sama-sama kita semua mengagungkan Allah dengan mentakzimkan syiar-syiarNya. Semoga dengan menghidupkan syiar-syiar ini kita akandimasukkan ke dalam golongan bertaqwa seterusnya dirahmati dan dikasihi oleh Allah.

Firman Allah di dalam Surah Al-Hajj yang bermaksud:

32. Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Islam bukan hanya agama individu, malah agama masyarakat dan negara.Syiar-syiar agama merupakan simbol yang memperkenalkan identiti sesebuah masyarakat dan negara.Antara syiar Islam ialah laungan azan, solat berjemaah, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat, perundangan Islam, amar makruf nahi mungkar dan lain-lain.Jika kita dituntut untuk menghormatinya, maka mempertahankannya lebih aula (utama).

Akhir sekali, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1432H kepada semua ahli ISMA dan seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Salam Ukhuwwah, Salam Mahabbah.

Sekian.

والسلام عليكم ورحمة الله و بركاته

“MEMBANGUN UMAT BERAGENDA”

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

1 Komen untuk entri “Perutusan Hari Raya Aidil Adha 1432H oleh Presiden ISMA”

  1. [...] sumber CommentsPowered by Facebook Comments     Tags Related Posts [...]