|

ISMA seru tiada kempen melampau menjelang pilihan raya

Walaupun tarikh pilihan raya umum ke-13 belum diumumkan oleh Perdana Menteri, namun hampir semua kegiatan parti politik tertumpu kepada kempen pilihan raya.

Atas kesempatan ini ISMA ingin menyeru parti-parti politik yang akan terlibat dalam pilihan raya agar menjaga norma-norma agama dan nilai masyarakat.

Berilah contoh amalan politik yang sihat dan mendidik. Elakkan daripada membuat fitnah atau tuduhan melampau kerana ia bukan saja salah dari segi akhlak dan agama tetapi ia merupakan satu bentuk penipuan fakta dan mempengaruhi masyarakat secara tidak sihat.

Elakkan daripada melontar kata kesat, tidak sopan dan melabelkan lawan dengan panggilan yang keji dan atau menggunakan wasilah yang menjijikkan.

Jauhi politik kebencian yang tidak akan mendatangkan faedah kepada masyarakat dan negara.

Berpeganglah kepada nilai agama yang kita anuti, berpolitik tidak mengharuskan kita melakukan sesuatu yang bercanggah dengan agama. Jangan kita amalkan politik Machiavelli yang mana matlamat menghalalkan cara.

ISMA menyeru masyarakat Malaysia agar berpeganglah kepada sikap berobjektif yang disarankan oleh agama seperti terdapat dalam firman Allah s.w.t :

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. ( Surah Al-Maidah, ayat 8 )

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. ( Surah Al-Hujurat, ayat 6 )

ISMA walaubagaimanapun menggalakkan sistem ‘check and balance’ dalam politik negara dan menyokong konsep keadilan dalam peluang kepada mana-mana parti politik. ISMA menggalakkan persaingan sihat dengan mengemukakan agenda-agenda yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

Parti politik perlu lebih profesional bukan sekadar politik jatuh-menjatuh yang menggunakan manifesto yang cantik untuk menggula-gulakan masyarakat supaya menyokong dan membawa mereka kepada kerusi kemenangan.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

1 Komen untuk entri “ISMA seru tiada kempen melampau menjelang pilihan raya”

  1. [...] : ISMA Pusat CommentsPowered by Facebook Comments [...]