Human Right Watch New York melampau
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpendapat, sebahagian badan pejuang hak asasi manusia telah semakin melampau, termasuk dengan melanggar kedaulatan dan nilai hidup yang didokong oleh masyarakat sesebuah negara.
Ini dapat dilihat melalui tindakan Human Right Watch (HRW) yang berpangkalan di New York mempertikaikan tindakan kerajaan Malaysia menghalang penganjuran program Seksualiti Merdeka dalam surat yang telah dimuatnaik di laman sesawang rasminya pada 8 November 2011.
ISMA turut membantah penganjuran Seksualiti Merdeka kerana ia seolah-olah mempromosi dan memaksa masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam, agar menerima nilai hidup songsang seperti lesbian, gay dan bisexual. Cara hidup sebegini sepatutnya dirawat bukan dipromosikan. Sebarang tindakan mempromosi seolah-olah mencabar konsep keluhuran perlembagaan yang telah menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan bagi negara ini.
ISMA berpendapat tindakan HRW ini merupakan bentuk pencabulan kedaulatan dan harus dihentikan. Kedaulatan undang-undang setiap negara termasuk Malaysia perlu dihormati. Ini kerana ia adalah aspirasi majoriti rakyat negara ini yang telah diwarisi sekian lama. Semua bentuk campur tangan asing, sama ada secara langsung atau tidak akan menggadai ketenteraman awam yang hakikatnya merupakan hak asasi masyarakat umum yang wajib dipertahankan.
ISMA menggesa agar kerajaan Malaysia tidak tunduk kepada semua bentuk tekanan ini kerana ia merupakan maruah negara yang tidak boleh digadaikan atas apa-apa maksud.
ISMA mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang berganding bahu menghadapi segala bentuk campur tangan asing yang merupakan ancaman dan penjajahan bentuk baru yang perlu disedari. Biarlah rakyat Malaysia sendiri menentukan halatuju dan bentuk masyarakat yang ingin mereka bangunkan.



[...] sumber CommentsPowered by Facebook Comments [...]