Tingkat kualiti institusi keluarga
Keluarga merupakan unit asas yang membentuk masyarakat dalam sesebuah negara. Seandainya keluarga itu pincang, masyarakat terbentuk juga akan terkena badai kepincangan tersebut. Sebaliknya jika sesebuah keluarga itu sempurna, binaan masyarakat yang akan lahir juga lebih teguh, seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera.
Pasangan suami isteri yang satu masa dahulu berjanji untuk membangunkan keluarga bahagia seolah-olah hilang hala tuju dan agenda keluarga. Ibu bapa terpaksa bekerja lebih masa untuk menampung kos perbelanjaan keluarga yang semakin tinggi sehingga mengabaikan keperluan asasi anak-anak, iaitu kasih sayang dan perhatian.
KEMELUT
Ketua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Nor Saleha Mohd Saleh berkata, isu pengurusan kewangan dalam keluarga seolah-olah tiada penghujungnya. Pelbagai pihak tampil dengan pelbagai teori dan saranan bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi keluarga Melayu.
Menurutnya, tidak kurang pihak yang mengaut keuntungan daripada permasalahan dan kemelut ini. Kesan langsung daripada kemelut ini ialah masalah keruntuhan moral dan gejala sosial seperti mat rempit, pembuangan bayi, penagihan dadah dan lain-lain, terutamanya dikalangan bangsa Melayu Muslim begitu ketara sejak kebelakangan ini.
“Gejala buang bayi adalah bukti paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda masalah keruntuhan moral yang serius. Merujuk kepada Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari tahun 2000 hingga 2007, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi.
“Statistik ini menunjukkan betapa perlunya masyarakat Melayu khususnya, diberi kesedaran bahawa peranan sesebuah institusi keluarga amat penting dalam usaha menangani semua permasalahan gejala sosial dalam masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, keruntuhan institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagiaan dan keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Akhlak baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia.
“Masyarakat Melayu semakin hanyut dengan arus pemodenan sehingga lupa kepada sumber rujukan yang mampu mengangkat darjat dan martabat mereka lebih daripada mereka sangka, iaitu berpegang dan kembali menghayati ajaran agama yang sebenar,” katanya.
ANJUR KONVENSYEN KELUARGA
Justeru katanya, menyedari institusi keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk peribadi dan jati diri setiap individu keluarga berkenaan, ISMA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim Nasional.
“Ia merupakan sebuah konvensyen khusus untuk keluarga Melayu Muslim di Malaysia membincangkan isu dan kemelut dihadapi keluarga Melayu serta cadangan penyelesaian yang perlu digarap oleh sebuah keluarga Melayu.
“Peserta konvensyen akan mendapat pencerahan berkenaan kedudukan Melayu Muslim dari perspektif sejarah dan sosiologi. Ini termasuklah menyentuh tentang betapa pentingnya sesebuah keluarga Melayu Muslim itu memiliki dan memahami hala tuju berkeluarga yang sebenar,” katanya.
Menurut Saleha, konvensyen bertemakan ‘Membudaya Perencanaan Dalam Keluarga Melayu’, menampilkan tokoh-tokoh yang akan sama-sama mengupas isu kekeluargaan iaitu Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Sidek Baba, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik & Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Badrul Hisyam Abd Aziz dan beberapa lagi tokoh terkemuka.
TINGKAT KUALITI INSTITUSI KELUARGA
Harapannya, konvensyen berkenaan dapat memberi nilai tambah kepada usaha-usaha, sama ada kerajaan dan badan bukan kerajaan yang sedang giat berusaha untuk mempertingkatkan kualiti rakyat menerusi pembaikan institusi keluarga.
“Seterusnya daripada konvensyen ini juga diharapkan sedikit sebanyak membantu usaha kerajaan ke arah mewujudkan sebuah Dasar Keluarga Negara yang mana usaha itu telah mula disuarakan oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita sejak tahun 2005 lagi.
“ISMA juga amat berharap melalui sumbangan yang sedikit ini dapat berganding bahu ke arah meletakkan perspektif sebenar keluarga Melayu Muslim ke arus perdana dan seterusnya mampu menggerakkan pembangunan sosial seiring dengan pembangunan ekonomi serta bidang-bidang yang lain,” kata Saleha.
Menurutnya, antara objektif konvensyen itu ialah untuk memberi pendedahan berkaitan isu semasa permasalahan keluarga Melayu Muslim masa kini, menjelaskan kedudukan Melayu Muslim dari perspektif sejarah dan sosiologi, menjelaskan kepentingan keluarga Melayu Muslim serta hala tuju dalam menyumbang kepada keutuhan masyarakat Malaysia dan memberi pendedahan metodologi kepada pembentukan sebuah keluarga Melayu Muslim yang berjati diri.
“Konvensyen sehari bermula jam 8 pagi itu akan diadakan pada 23 Oktober ini, di Dewan Auditorium D8, Parcel D, Precint 1, Putrajaya dan menjemput semua masyarakat beragama Islam, khususnya kaum Melayu daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang untuk sama-sama menghadiri konvensyen ini dengan yuran serendah RM10 sahaja,” katanya.
Maklumat lanjut boleh melayari laman web www.konvensyenkeluarga.net atau sebarang pertanyaan boleh terus email kepada info@konvensyenkeluarga.net.
Sumber: Sinar Harian, 21 Oktober 2011


