Sekretariat HIMPUN perjelas matlamat perhimpunan kepada JKMPKA
KUALA LUMPUR, 18 Oktober — Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Sabtu ini yang mahu membincangkan khusus isu murtad akan mengadakan pertemuan dengan anggota Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) malam ini bagi menyampaikan matlamat perhimpunan mereka di samping mengelakkan salah faham usaha pihaknya itu.
Perhimpunan itu, yang terbesar dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam setakat ini dijangka disertai lebih 100,000 orang. Penganjur menegaskan perhimpunan itu bebas pengaruh dan sentimen politik.
Setiausaha Sekretariat HIMPUN, Aminuddin Yahaya ketika ditemui The Malaysian Insider memberitahu, pihaknya akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin agama bukan Islam yang menganggotai jawatankuasa itu bagi menyampaikan sendiri tujuan mereka mengadakan perhimpunan julung kali ini supaya tidak wujud salah faham.
“Perhimpunan ini khusus untuk membincangkan isu murtad dan menyatukan umat Islam membincangkan isu ini. Jadi, kami akan menghantar wakil sekretariat untuk menjelaskan kepada anggota jawatankuasa mengapa usaha kami ini diadakan, beberapa pemimpin sekretariat juga berada dalam jawatankuasa antara agama ini,” kata beliau dalam satu pertemuan di sini semalam.
Penubuhan jawatankuasa itu diluluskan oleh Kabinet Februari tahun lalu untuk mempromosikan persefahaman dan keharmonian antara penganut berlainan agama.
HIMPUN dijangka akan mengeluarkan satu deklarasi menggesa kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi mencegah kes-kes murtad di kalangan Muslim.
Aminuddin berkata lebih 2,000 NGO, yang dipercayai mewakili sekitar empat juta orang Islam di negara ini telah menyatakan sokongan kepada perhimpunan itu.
Dalam temubual dengan The Malaysian Insider, Aminuddin juga berkata pihaknya berharap kaum bukan Islam tidak salah faham dengan perhimpunan anjuran mereka, yang merupakan terbesar setakat ini, lebih-lebih selepas jawatankuasa persefahaman antara agama dibentuk tahun lalu.
“Kami hendak menegaskan usaha ini diadakan untuk mempertahankan akidah Islam, bukan bertujuan mencetuskan sentimen atau menggugat atau menakut-nakutkan mana-mana agama lain. Tidak, itu kami hendak tekankan di sini.
“Malah, perhimpunan ini juga tiada kaitan dengan politik, ia jauh daripada pengaruh politik,” kata beliau sambil menambah, pihaknya mengalu-alukan bukan Islam menyertai perhimpunan untuk memahami apa yang “kami hendak sampaikan.”
Aminuddin berkata walaupun Islam dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, masih ada pihak yang mengambil kesempatan untuk cuba memurtadkan umat Islam dan menjejaskan akidah umat Islam.
Aminuddin mengakui idea mengadakan perhimpunan ini bertolak daripada insiden membabitkan Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Selangor 3 Ogos lalu.
Katana, secara kebetulan lokasi perhimpunan juga berada di Shah Alam, Selangor.
“Walaupun wujud hanya satu kes, kami melihat ia sebagai kes yang serius, terang-terang menyampaikan dakyah Kristian di kalangan umat Islam, jadi kami hendak menyampaikan mesej bahawa perkara ini perlu dielakkan, akidah umat Islam tidak patut digugat” katanya lagi.
Katanya, perhimpunan ini hanya menyentuh isu murtad dan tiada kaitan dengan isu-isu lain seperti penggunaan kalimah Allah.
“Tidak, tidak… ia hanya berkaitan dengan isu murtad. Isu kalimah Allah, yang itu isu lain,” katanya lagi.
Aminuddin juga berkata isu-isu berkenaan sepatutnya diselesaikan di peringkat Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama tetapi ia masih berterusan.
“Tetapi kami tidak mengatakan semua orang Kristian, tetapi segelintir sahaja… ada penganut Kristian yang faham dan menghormati,” jelas beliau.
Kata beliau, HIMPUN juga akan dijadikan sekretariat formal selepas ini untuk memantau isu dan kes murtad di negara ini.
Perhimpunan itu juga bertujuan mahu menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya tidak seperti yang digembar-gemburkan melalui media, mengukur tahap kesatuan dan semangat kekitaan di kalangan orang Islam khasnya terhadap gerak kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011 dan memberitahu rakyat perlunya persoalan akidah ditangani melalui hujah agama bukan dibiarkan berlarutan menjadi modal politik.
Di samping itu, untuk menserlahkan institusi raja yang menjadi payung kaum Melayu dan Islam dalam hal peranan mereka dalam sama-sama menangani isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam di negara ini, menzahirkan kekuatan akidah dan keimanan masyarakat Islam sambil memberi amaran tentang bahaya yang akan menimpa negara ini seandainya isu ini terus dieksploitasi dan menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.
Sumber: The Malaysian Insider


