Roadshow Palestin di Adelaide pecah rekod kutipan dana tertinggi
Replika “Kingdom of Faith” yang berjaya dilelong dengan harga AUD 20,222.
ADELAIDE, 24 September – Roadshow Palestin (RSP) Adelaide 2011 anjuran ISMA South Australia berjaya memecahkan rekod kutipan dana tertinggi peringkat Australia di mana sebanyak AUD 32,022 telah dikumpulkan untuk disalurkan kepada Aman Palestin bagi membantu saudara-saudara Islam di bumi Al-Quds.
Salah satu barang bidaan iaitu replika “Kingdom of Faith” yang merupakan hasil kerja tangan mahasiswi di sini menjadi perhatian hadirin kali ini apabila berjaya dilelong dengan harga AUD 20222, yang merupakan lelongan tertinggi bagi RSP kali ini.
Acara lelongan ini adalah salah satu daripada pelbagai acara menarik yang diadakan dalam program ini. Turut diadakan bicara berinformasi daripada Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin selaku perunding Aman Palestin, pameran, persembahan nasyid dan sajak serta jualan.
Dalam bicara yang disampaikan oleh Dr. Zainur Rashid, beliau mengajak masyarakat di Adelaide terutama mahasiswa dan mahasiswi Malaysia untuk memainkan peranan bagi memperbaiki masyarakat dan tidak berlepas tangan dalam isu Palestin. “Jangan lupa bahawa masa depan kita bergantung kepada generasi muda”, kata beliau.
Program yang bertemakan ‘Searching for Salahuddin’ ini diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang karya kreatif dan penyerahan replika cek daripada wakil ISMA South Australia kepada Dr. Zainur Rashid.
Sumber: Laman Web ISMA Australia


