Pluralisme Agama menyeleweng daripada asas akidah Islam
BANGI – Pluralisme Agama adalah suatu fahaman yang menyeleweng daripada asas akidah Islam dan wajar dikaji secara menyeluruh kerana fahaman tersebut telah memberi banyak kesan dan implikasi di Malaysia khususnya dan di dunia Islam umumnya.
Mantan Timbalan Dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu UIAM, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, berkata demikian semasa menjadi panelis Wacana Peradaban anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang mengupas tajuk Pluralisme Agama & Ancamannya Terhadap Jati Diri Melayu Muslim di sini baru-baru ini.
Menurutnya, fahaman Pluralisme Agama sangat berpotensi untuk mengikis kemurnian akidah umat Islam terutamanya di kalangan orang Melayu di Malaysia secara sedar mahupun tidak, seterusnya membuka pintu kepada kesyirikan dan kekufuran.
“Sekiranya sudut akidah umat Islam sudah terkompromi maka sebenarnya keseluruhan jati diri keagamaan umat itu sendiri sudah tergadai. Allah SWT sangat tegas di dalam hal akidah berbanding dengan aspek-aspek Islam yang lain.”
Berbicara mengenai Islam di Malaysia, Dr. Mohd Farid berkata, walaupun disedari bahawa masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu ditampung tetapi aspek menjaga kemurnian akidah serta bertegas terhadap penyelewengan akidah adalah antara aspek yang perlu lebih diberikan perhatian.
Sejak daripada kes Natrah lagi sehinggalah kepada kes-kes murtad yang terkini, masyarakat umum masih memberikan perhatian dan reaksi yang agresif. Manakala pihak yang berwewenang sehingga kini, masih bertahan dan cuba untuk menutup pintu murtad melalui tafsiran dan perlaksanaan undang-undang.
Beliau juga menyelar usaha-usaha penubuhan Interfaith Commission (IFC) yang dianggotai oleh wakil daripada pelbagai agama secara rata bagi menangani pelbagai isu hubungan antara agama yang telah meletakkan tuntutan kedudukan sama rata dan hak agama-agama lain terhadap agama Islam.
Dr. Mohd Farid, yang kini bertugas sebagai seorang Felo Kanan IKIM memberi amaran, jika umat Islam sudah berkompromi dalam bab akidah maka mereka sudah menghakis keutuhan kesatuan umat dan boleh menempah kebinasaan kerana kesan zahirnya tidak terus segera menjelma. Namun lambat laun serangan Pluralisme Agama akan tetap menimbulkan krisis yang besar melalui perselisihan dan pertelingkahan sesama umat Islam dalam bab akidah yang sentiasa dititik-beratkan selama ini.
Adalah satu yang mustahil bagi umat Islam di Malaysia untuk bersatu dan bersepakat di atas satu penyelewengan dan kesesatan seumpama Pluralisme agama. Perpecahan ini adalah merupakan punca utama kelemahan dan kemunduran umat yang tidak mampu kita tanggung di dalam realiti di Malaysia.
Susulan daripada kesan kepada akidah dan keutuhan persaudaraan umat Islam, Pluralisme Agama juga akan memberi kesan buruk kepada situasi sosio-politik umat Islam. Apabila sensitiviti umat Islam dapat dicairkan melalui serangan fahaman ini, maka agama sebagai salah satu benteng yang paling kukuh bagi formula sosio-politik di Malaysia juga akan runtuh.
Akhirnya, kata beliau, serangan fahaman Pluraisme Agama adalah merupakan tikaman ke jantung negara dan bangsa kerana Islam adalah jantung hati kepada negara Malaysia dan kepada bangsa Melayu sebagai bangsa tunggaknya. Ini kerana keteguhan bangsa Melayu dan umat Islam sebagai teras di dalam masyarakat berbilang kaum dan agama adalah tunggak kestabilan dan keharmonian agama di negara ini.


