Pluralisme Agama hakis sensitiviti keagamaan orang Melayu
BANGI, 12 Oktober – Serangan fahaman Pluralisme Agama telah berjaya mencairkan sensitiviti umat Islam terhadap agama mereka, lantas menghakis kekuatan pegangan mereka kepada agama Islam yang mereka anuti itu sejak sekian lamanya.
Kesan serangan ini dapat dilihat melalui kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis milik Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini apabila sebahagian orang Melayu sendiri menentang tindakan tersebut, begitu juga sokongan golongan liberal ke atas isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam yang selama ini eksklusif untuk penganut Islam.
Perkara ini dinyatakan oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, mantan Timbalan Dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu UIAM semasa menjadi panelis Wacana Peradaban anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang mengupas tajuk Pluralisme Agama & Ancamannya Terhadap Jati Diri Melayu Muslim di sini semalam.
Menurut beliau lagi, adalah menjadi satu kesilapan besar sekiranya kita menyamakan Pluralisme Agama dengan toleransi agama. Ini kerana toleransi agama katanya, bermaksud kita menghormati kewujudan agama-agama yang berbeza serta perbezaannya.
Manakala fahaman Pluralisme Agama menganggap bahawa semua agama di dunia ini adalah sama tarafnya, tiada yang lebih baik atau lebih buruk daripada yang lainnya dan semua agama ini adalah merupakan jalan-jalan keselamatan yang akan membawa kepada kesejahteraan kepada seluruh manusia dengan menuju ke destinasi yang sama.
“Fenomena ini membimbangkan umat Islam kerana bagi kita, satu-satunya agama yang diredhai di sisi Allah adalah Islam dan orang Islam wajib berpegang teguh kepada kebenaran agama kita yang bersifat eksklusif ini.”
Dalam wacana yang sama, Dr. Anis Malik Thoha yang merupakan seorang pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama di UIAM, mengatakan bahawa kedudukan agama Islam di Malaysia lebih baik jika dibandingkan dengan Indonesia, kerana agama Islam telah diletakkan sebagai ‘Agama Persekutuan’ di dalam perlembagaan Malaysia.
Hakikat ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan serangan golongan Islam Liberal termasuk pendokong fahaman Pluralisme Agama terhadap kedaulatan agama Islam. Namun demikian kedudukan Islam di Malaysia sudah mula dipersoalkan kerana ada beberapa pihak yang cuba menukar pentafsiran kedudukan Islam di dalam perlembagaan tersebut.
Bagi mendepani ancaman pluralisme agama, Dr. Anis Malik yang merupakan seorang pengkaji fahaman Pluralisme Agama yang berasal dari Indonesia menyeru agar organisasi-organisasi Islam di Malaysia terus memainkan peranan yang lebih besar. Menurutnya, penyebaran fahaman Pluralisme Agama di Indonesia digerakkan oleh badan-badan NGO Islam Liberal yang mendokong fahaman Pluralisme Agama sehingga mereka berhasil menyusup masuk ke pesantren-pesantren.
Beliau turut menegur sikap sebahagian rakyat Malaysia terutama golongan mahasiswa yang malas dalam melakukan kajian terhadap aliran keagamaan dan pemikiran yang berbeza, sedangkan ini adalah satu keperluan penting bagi mendepani ancaman Pluralisme Agama yang sedang melanda masyarakat di negara ini.
Wacana Peradaban ini membariskan Dr. Mohd Farid dan Dr. Anis Malik selaku panelis, sementara Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin daripada ISMA bertindak sebagai moderator.




Benda seperti ini yang bagi saya parti yang membawa perjuangan agama perlu faham. bukan hanya ( sorry to say ) menjilat punggung pembangkang yang ssekeras – kerasnya menentang Malaysia menjadi sebuah negara Islam. Just think mcm apa yg berlaku dkt negeri2 dibawah Pembangkang, mereka mendoakan kepada Allah, kesejahteraan orang2 yg Kafir, yg terang menyembah tuhan selain Allah, dalam Rumah Allah. Something wrong there, but they failed to saw it. Benarlah kata2 Allah, Dia memberi Hidayah dan petunjuk hanya kepada yg dikehendaki-Nya.