|

Pertahankan akidah umat

“Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Mā’idah, 5 : 73)

Aqidah mengesakan Allah adalah kurniaan terbesar Allah kepada kita sebagai umat Islam. Di samping ia merupakan kurniaan, dalam masa yang sama ia adalah amanah yang wajib digalas oleh setiap kita. Mulai saat ini, marilah kita meningkatkan tahap keprihatinan kita menyedari dan mengambil berat terhadap ancaman pemesongan akidah tauhid umat Islam pada hari ini. Umat Islam di negara ini telah mengharungi pelbagai episod hitam melibatkan gugatan dan ancaman terhadap aqidah seperti kes Natrah, Jamaluddin Othman, Nor Aishah Bukhari, IFC dan kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas DUMC. Pendakyah-pendakyah agama lain bebas memberikan khidmat sosial kepada pesakit-pesakit di wad-wad hospital terpilih, menganjurkan kelas-kelas tuisyen untuk anak-anak muslim yang diselitkan dakyah-dakyah Kristian, menyebarkan risalah secara terbuka di tempat-tempat awam dan rumah-rumah persendirian.

Penghakisan martabat agama Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak terjadi atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara. Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan – satu nyanyian, satu perkhemahan – satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam – setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah. Oleh kerana sasaran utama mereka adalah orang-orang Melayu Muslim, maka mereka menggunakan beberapa pendekatan yang hampir dengan kehidupan seharian orang-orang Melayu Muslim termasuklah penyalahgunaan beberapa perkataan yang mempunyai makna dan pengertian khusus tertentu dalam Islam tetapi digunakan untuk mencapai tujuan-tujuan jahat mereka. Contohnya penggunaan kalimah “Allah” .

Di dalam Islam, “Allah” hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Merujuk perkataan “Allah” kepada salah satu daripada tiga unsur tuhan seperti kepercayaan Kristian adalah menyalahi aqidah Islam, apatah lagi mendakwa Nabi Isa a.s itu adalah anak “Allah”. Al Quran menegaskan di dalam Surah al-Ikhlas (112) : 1-4;

“Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Hari ini nama suci ALLAH dilaporkan telah digunapakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam – tanpa mengendahkan potensi untuk mengelirukan aqidah anak-anak Islam – tanpa mempedulikan betapa terhirisnya perasaan ummah. Nama suci ALLAH yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. ALLAH adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada symbol pujaan agama lain. Kalimah suci ALLAH bukan sekadar ‘nama am’ yang bermaksud ‘tuhan’ walau apa bentuknya. Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bungkusan, tidak boleh dibawa ke tandas. Allah adalah nama khas, Tuhan Yang Maha Suci – Tuhan Yang Maha Agung.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang buat kali 178 telah memutuskan dan keputusan ini telah difatwakan serta diwartakan oleh Kerajaan Negeri Perak pada bulan Jun 2010 , bahawa penggunaan kalimah ALLAH hanya dikhususkan untuk umat Islam, mana-mana penganut selain penganut Islam adalah dilarang daripada menggunakan kalimah ALLAH untuk sebarang tujuan dan maksud.

Amatlah bahaya jika prinsip asas agama ini diredhakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik. Sesungguhnya insiden yang berlaku, merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh ALLAH swt terhadap umat Islam, menguji kepimpinan Islam di bumi ini; ujian ILAHI terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di kalangan ummah, ulama, barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-raja. Ia adalah ujian terhadap ketegasan umat Islam untuk mempertahankan kalimah tauhid, KEESAAN ILAHI, ALLAH yang “SATU” lagi berkuasa di atas segalanya.

Pada masa yang sama kita melihat gejala kurangnya kesatuan suara dan kejelasan sikap terhadap pelbagai ancaman terhadap akidah umat ini termasuklah dari kalangan sebahagian umat Islam disebabkan pelbagai faktor termasuk sentimen politik dan puak. Ini mewujudkan suasana yang memungkinkan terhakisnya benteng pertahanan akidah umat Islam samada dalam bentuk institusi-institusi agama, usaha dakwah dan pendidikan serta peruntukan undang-undang.

Marilah setiap daripada kita menjadi muslim yang sentiasa sensitif kepada setiap perkara yang berlaku kepada agama Islam dan umat Islam di mana-mana sahaja ia berlaku samada di luar negara lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di dalam negara kita. Marilah kita sentiasa menyiapkan diri, sentiasa siap siaga menjadi tentera-tentera Allah, pembela-pembela agama yang akan responsif terhadap apa juga yang menyentuh soal agama Islam dan umat Islam.

Berasaskan segala kesedaran dan latarbelakang di atas, atas tanggungjawab agama, atas semangat menjunjung titah Raja-raja Melayu agar Islam dipertahankan; satu perhimpunan yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa yang dinamakan sebagai Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) bertema “Selamatkan Akidah” akan diadakan di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu 22 Oktober 2011 bermula jam 2.00 petang sehingga jam 6.00 petang melampaui sempadan perbezaan ‘kotak-kotak” kepentingan kelompok dan parti. Inilah peluang keemasan yang mungkin sekali dan terakhir untuk setiap muslim yang sayangkan akidah dan cemburukan agamanya untuk menyumbangkan suatu khidmat bakti untuk tujuan membersihkan karat-karat yang menyaluti akidah umat.

Ustaz Hj. Zamri bin Hashim,
Naib Yang di-Pertua,
ISMA Perak
Blog: Ustaz Zamri Hashim

* Ustaz Hj. Zamri bin Hashim juga merupakan Timbalan Mufti Negeri Perak.

7 Komen untuk entri “Pertahankan akidah umat”

  1. kalam says:

    Assalamualaikum w.b.t.,

    Ya ustaz… saya peka… dan sokong tapi… saya malu…

    Perlembagaan mengatakan agama rasmi adalah Islam… Islam ini atas nama atau atas keimanan???

    Jika atas keimanan maka umat Islam, kita ini akan mengikuti sepenuhnya panduan Islam itu sendiri..

    Tetapi jika pemimpin sebagai contohnya… sultan dan perdana menteri… isteri mereka tidak menutup aurat… itu jelas nampak melanggar arahan Allah s.w.t. Dan menjadi contoh atau celaan masyarakat bukan Islam. Tak tahulah jika ada Islam versi baru macammm Islam Melayu Baru… Mana mufti? Takut kena pecat? Mana Ustaz majlis atau jabatan agama? Takut periuk nasi bocorkah? Berapa banyak program menyesatkan oleh pemerintahan sekular yang menggalakkan budaya berpelisaran, budaya arak, budaya fitnah, budaya hiburan satu malaysia, budaya campur gaul laki perempuan dan sebagainya yang menjadi pencetus kepada murtad.. Mana penguasa agama ini? Lawanlah betul-betul… sesuai dengan gaji yang dibayar…

    Kalau paderi atau agama lain tanya… Itu sultan Islam kah? Perdana Menteri Islam kah? Sebab islam suruh perempuan menutup aurat, tapi isteri-isteri mereka ni????? Tolong ustaz jawabkan? Tak malu kea…

    Ramai yang murtad kerana kelaparan/kesusahan… paling baik ISMA bunuh mereka sebelum mereka murtad disebabkan kesukaran, sekuran-kurangnya mereka boleh mati dalam Islam…

    Sorry yea ustaz minta ampun minta maaf… selamat ber HIMPUN… isshhh… sekadar berhimpun jea lah…

  2. Annuar says:

    buatlah kebaikan walaupun sekadar memberi sedekah sebelah buah tamar kerana ia tetap memberatkan timbangan amalmu…mari kita sedarkan umat Islam bahawa setiap mereka yang mengucap syahadah akan ditanya oleh Allah apakah mereka benar2 menunaikan janji-janji mereka.?

    Tidak guna cakap kalau sekadar untuk menyakitkan hati.. masing-masing telah beramal mengikut kapasiti mereka.. Gunung tidak akan runtuh walaupun berjuta ekor anjing berkumpul dan menyalak dikakkinya…tetapi akan runtuh jika berjuta ekor burung mengaut seketul pasir setiap hari..

    beramallah, berkerjalah, lakukan sesuatu walaupun sekadar mengajar maksud surah al-Fatihah kepada orang yang belum tahu..

  3. Hamba Allah says:

    Jika tiada rasa sakit hati… maka banyaknya umat islam berdiam diri… bila rasa sakit hati / bimbang… maka kita berHIMPUN…

  4. Syiar says:

    Apa kah usaha yang saudara kalam telah lakukan..? kalau ok dan baik boleh join sekali..

  5. Naz says:

    Selalunya..golongan seperti Kalam hanya bercakap dan melihat tanpa buat apa-apa..

  6. ummi says:

    Hanya Allah yang maha mengetahui apa yang kita lakukan. Jgn banyak sangat komen apa yang buat tanpa melihat apa yg sudah kita buat. teruskan bekerja jgn dilayan cakap-cakap manusia yang seolah-olah dia telah melakukan amar maaruf nahi munkar yg terlalu banyak. Itu yang dikatakan cabaran berdakwah.

  7. Hamba Allah says:

    Yes betul tu Syiar dan Naz…. ana tidak berbuat apa-apa? Hanya dok saja-saja jea…. Kalau kita hanya buat apa yang orang lain buat dan ikut-ikut… itulah ikut-ikutan…

    Lebih baik tidak berbuat apa-apa dari menggunakan harta syarikat seperti email syarikat tempat bekerja untuk menghentam NGO-NGO Islam atau parti politik Islam kerana tak ikut HIMPUN… mungkin salah terima tarbiah ni…. ISMA tak gitu…