Kematian Gadaffi: Pemimpin diktator diingat jangan membelakangi rakyat
Gadaffi akhirnya tumbang dan mayatnya tersungkur ke bumi di tangan rakyatnya sendiri. Dunia menyaksikan episod berakhirnya hidup seorang diktator yang mengerikan.
Gadaffi mula menaiki takhta kerajaan Libya selepas merampasnya dari tangan Raja Idris pada 1 September 1969. Serentak dengan itu, Libya diisytiharkan sebagai Republik Arab Libya dan Gadaffi ditabalkan sebagai Presiden Libya.
Pemerintahan beliau selama 42 tahun disifatkan sebagai kerajaan diktator dan kuku besi yang tertegak di atas pembolotan kekayaan negara dan memaksa rakyat supaya tunduk dan patuh di bawah kuasa beliau dengan kuasa ketenteraan.
Meskipun beliau dikagumi ramai pihak kerana ketegasannya dalam isu Palestin dan isu umat Islam yang lain, kejahatan dan kezaliman beliau terhadap rakyat dan pihak pembangkang khususnya tidak dapat dimaafkan.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman ketika diminta mengulas isu ini, berpendapat peristiwa ini seharusnya dijadikan pengajaran oleh semua pihak terutamanya pemimpin negara agar tidak menjadikan kekuatan sebagai tunjang pemerintahan.
Abdullah berkata, “Peristiwa pembunuhan Gadaffi dan kejatuhan pemimpin-pemimpin Arab seharusnya dijadikan pengajaran oleh semua pihak terutamanya pada pemimpin negara agar tidak menggunakan kuasa kekuatan semata-mata untuk memaksa rakyat.”
Bahkan menurut beliau, pemerintah tidak harus memisahkan diri daripada rakyat dan membelakangi mandat (syar’iyyah) rakyat.
“Pemerintah tidak harus memisahkan diri daripada rakyat dan membelakangi mandat (syar’iyyah) rakyat,” kata beliau.

