|

HIMPUN dan gila politik

Selepas HIMPUN berlalu, saya baca banyak komen mengenainya. Ada yang jujur memuji dan ada yang jujur menyindir. Kepada yang memuji saya ingin katakan bahawa HIMPUN hanya satu permulaan. Banyak lagi langkah yang perlu diusahakan bagi menyelamatkan jatidiri umat daripada terus dicairkan dan dileburkan oleh arus liberal. Segala usaha itu memerlukan komitmen semua. Harapan saya ialah semoga anda tidak hanya jujur memuji, malah jujur dalam berjanji dan sanggup berjuang bersama sehingga ke penghujung nyawa. Jangan menghilangkan diri di pertengahan jalan.

Kepada yang menyindir, “tahniah” saya ucapkan kerana anda terpilih dalam kelompok ramai yang membentuk fenomena ”pasukan sorak”. Macam-macam bunyi boleh didengar. Entah apa-apa. Walaupun tiada kelayakan tertentu untuk direkrut jadi “pasukan sorak”, tidak perlu ijazah dan sebagainya, tidak semua orang yang pandai bersorak, sama ada untuk menaikkan semangat pasukan sendiri mahupun melemahkan semangat pasukan lawan. Begitupun, pemain-pemain dipesan supaya mempunyai ketahanan mental yang tinggi, kerana perlawanan sebenarnya di dalam gelanggang, bukan di belakang garisan gol. Anda mesti kenal siapa lawan anda yang sebenarnya. Jangan hiraukan lolongan orang-orang di tepian itu. Biarkan saja mereka dengan kenakalan mereka yang melucukan.

Bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada para pemimpin di luar sana agar didiklah sikit anak-anak buah agar bersopan dalam berkata-kata dan memberi komen dalam media alternatif. Membiarkan mereka melemparkan kata-kata kesat, kasar dan kerap juga lucah hanya merendahkan martabat organisasi yang mereka sokong. Tetapi nilai itu hanya pada pandangan orang yang bermaruah sahaja. Orang yang tidak bermaruah, tidak kisah.

Pandangan yang menyeluruh terhadap sesuatu permasalahan dan kekal mengambil kira pandangan keseluruhan itu ketika menangani sesuatu isu adalah amat penting.

Kita semua bukan seperti orang buta yang mahu mengenal rupa bentuk gajah. Tetapi sayangnya apabila tiba masa beraksi, kita seolah-olah menyimpulkan bahawa gajah hanya berbentuk seperti sebatang tiang sahaja. Kalau ada orang yang mengatakan gajah seperti dinding, maka kita melenting mengatakan tidak betul. Sedangkan kita semua celik dan tahu rupa bentuk gajah yang sebenarnya. Pelik, tapi benar.

Ramai orang tahu bahawa permasalahan umat Islam hari ini terlalu banyak, bercabang-cabang, meliputi soal politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang, sosial, kejiwaan, kekeluargaan dan lain-lain. Selain penyakit-penyakit itu, umat Islam juga mengalami serangan pemikiran dari luar (Barat) dan dari dalam akibat kejahilan yang melata tentang hakikat agama ini. Merawat salah satu fenomena penyakit ini dan melawan salah satu serangan itu, tidak mencukupi. Ini pandangan secara menyeluruh.

Tetapi yang menyedihkan kebanyakan pemimpin umat Islam di negara kita, dan diikuti oleh pengikut-pengikut mereka, beraksi tidak menurut pandangan yang menyeluruh itu. Setiap isu, setiap insan, setiap pihak, bahkan warna sekalipun, mesti dikategorikan sama ada bersama ataupun menentang. Antara dua itu saja. Ramai juga yang terpengaruh dengan logik George W. Bush. Jadilah macam orang-orang buta yang bertelagah mengenai rupa bentuk gajah. Sedangkan semuanya betul belaka.

Pemikiran sempit ini sudah sampai ke tahap yang berbahaya. Mereka menganggap perjuangan ini ibarat sebuah perlawanan bola dalam gelanggang dengan ditontoni ribuan penyokong. Dalam minda penyokong dan pemain hanya ada satu istilah; kalahkan, kalahkan, kalahkan. Kalau kita kalah lagi, kita akan lawan semula, sampai menang. Kalau kita menang nanti, mereka pula akan berusaha mengalahkan kita. Begitulah adat permainan. Sudah jadi macam perseteruan antara Manchester United dengan Manchester City pula. Kalau orang England gila bola, orang Melayu kita gila politik. Adakah jika orang England dikatakan agamanya ialah bola, maka kita mahu dikatakan agama kita ialah politik? Mohon perlindungan Allah.

Ustaz Mohd Hazizi bin Abdul Rahman,
Ketua Biro Latihan Kepimpinan,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Menuju Perubahan

18 Komen untuk entri “HIMPUN dan gila politik”

  1. [...] sumber CommentsPowered by Facebook Comments     Tags Related Posts [...]

  2. [...] Sumber : http://www.ismaweb.net/v4/2011/10/himpun-dan-gila-politik/ [...]

  3. Bancik says:

    Suatu kupasan yang perlu direnungkan bersama.

  4. [...] Comments ISMA PUSATHIMPUN dan gila politik October 25, 2011Ada cubaan hapus status bangsa, agama dalam MyKad October 24, 2011KKMM 2011 seru [...]

  5. Firdaus says:

    Tahniah Ustaz. Pemikiran sempit ini (gila politik) adalah penghalang kesatuan dan kejayaan umat Islam.

  6. t4L says:

    inilah realiti masyarakat. Let’s just face it. paksi pertimbangan hanya pada parti.. whatever statement they tend to categorize it as propaganda, either from this or that political party.
    sehingga menjadi salah satu faktor tk dapat ‘hadam’ apa yang dimaksudkan dgn slogan MSIB.
    nak mengubah landasannya kpd kebenaran… nah itulah kerja kita para da’i (asbab hidayah).

  7. milo says:

    wahai muslimin dan muslimat..sedarlh umat islam di malysia byk melebihkan pejungan polotik yg brbau penipuan..pikirkanlah,skarng kita berpcah krana politika.bilakah kawajipan kta sbgai khalifah tok menegkkan agama ALLAH..renung2lh.(.isma wadah pjuangn yg terbek)

  8. Abu Nua'im says:

    Assalamualaikum..
    Semoga antum diberkati dan diredhoi Allah..
    Menarik sungguh tamsilan tuan. Allah uji seseorang dengan ujian untuk melihat ahsanu amal. Seandainya kita memenuhi syarat dan menepati amal pasti akan dimakbulkan Allah. ramai sedikit bukanlah ukurannya. Dalam reality kini kita memerlukan mereka yang berkualiti dan tidak pula menolak kuantiti. rujuk 3 :146 – 148. terutama parti politik. Jangan kita ungkapkan dengan pelbagai ungkpan yang menunjukkan kekurangan kita. Tidakkah antum melihat bagaimana ungkapan dan tulisan ikhwah antum yg memandang sepi golongan politik dan pengikutnya sedangkan kita yakin pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk berdak dan tarbiah. Tarbiah ini berjalan seiring dengan umur kita. antum telah diberi kesempatan untuk menjana tarbiah umat tetapi tidak menampakkan apa-apa kecuali perpecahan di atas kekecewaan.
    Ustaz implimentkan tarbiah yang dipelajari bukan sekadar ilmu yang diperolihi. maksudnya implimentkan ilmu sesuai dengan manhaj yang dlalui dan faham dengan persoalan keutamaanya.

  9. hamba Allah says:

    wahai jemaah isma… apabila orang bersuara menentang apa yang anda buat, bagaimana anda rasa?…pelbagai anda cakap pasal orang2 yang menentang apa yang anda buat..tapi apa pun jangan berasa syok sendiri dengan jemaah anda sendiri. minta maaf jika kata2 ini tidak baik…ini pandangan ikhlas daripada diri saya ..jemaah isma belum diuji lagi…berhati2……minta maaf jika salah kata…

  10. hikmah says:

    hamba Allah, kalau ada ahli jemaah ISMA yg menggunakan kata2 kesat berbaur keji2an yg tidak bercirikan sebagai seorang islam yg sepatutnya dalam menegur orang, minta tolong report kepada ustaz hazizi secara direct. tolong sertakan dgn bukti2 sahih sekali. mesti akan dikenakan tidakan tatatertib.

  11. Siakkampung says:

    Apa salahnya jamaah islam yang ada kat malaysia ni beramal mengikut wasilah yang telah diputuskan oleh para ulama’ mereka. Kalau PAS dah ambil pendekatan politik, buat sungguh- sungguh, pastikan ahli PAS menjadi mukmin yang berakhlak mulia. Jadi qudwah hasanah kepada orang bukan Islam. Begitu juga ISMA, ABIM, TABLIGH dan lain- lain.

    Apa salahnya kelemahan dan kekurangan yang ada pada jamaah kita, saudara yang ada di pihak yang lain membantu. PAS tak mampu buat semua perkara, ISMA pun tak mampu buat semua benda, begitu juga yang lain. Kalau kita sesama harakah Islamiah masih bercakaran, satu pihak merendahkan amal satu pihak yang lain, sampai bila akan bertautnya hati- hati.

    Kita semua beramal untuk melahirkan Khilafah, mengembalikan kedaulatan Islam, memperkukuhkan ikatan ukhuwwah dan kekuatan Ummah. Bukannya masing- masing bangga dengan amal yang telah dilakukan. Kalau serendah-rendah ukhuwwah itu berlapang dada sesama saudara seislampun kita tak mampu nak laksanakan, jangan harapkan nak ithar. Pokoknya HATI kita masih kotor……………………

  12. hikmah says:

    saya sangat menyokong saranan tok siak.

    biarlah yg ditegur, terima teguran dgn lapang dada utk dijadikan sebagai muhasabah agar diperbaiki mana yg tidak betul dan tidak mengikut syariat landasan islam.

    biarlah yg menegur, menegur dgn ikhlas utk mempastikan bahawa orang yg ditegurnya itu adalah atas dasar kasih sayang dan utk memperbetulkan kesalahannya, bukan utk menjatuhkan antara satu sama lain, bukan dgn kutuk2an keji, bukan dgn kecaman2 yg tidak membawa kepada amal. ada beza tu.

  13. muizz says:

    satu benda yang perlu diperbetulkan,HIMPUN bukan permulaan.semua sudah 10-20 tahun yang lalu telah diperjuangkan oleh pihak2 yang tertentu,tambahan lagi 10 deklirasi tu sudah lama dibentangkan kepada pihak yang berkuasa.

  14. nur says:

    “Kalau PAS dah ambil pendekatan politik, buat sungguh- sungguh, pastikan ahli PAS menjadi mukmin yang berakhlak mulia. Jadi qudwah hasanah kepada orang bukan Islam.” – komen ini saya sangat setuju. Minta pimpinan parti poltik Islam tingkatkan akhlak ahli supaya sentiasa sopan dlm semua perkara ie jaga percakapan,hubungan,dll. Sebelum & Selepas HIMPUN berlaku, panas juga telinga dengar kata2 orang2. Sabar ajela…Semoga Allah membuka hati umat Islam supaya bersatupadu insyAllah. Melayu Sepakat ISLAM Berdaulat!

  15. x tahu says:

    erm just nk tnya..apa mksud melayu sepakat islam berdaulat tu?ke nk kte mcmni ni islam sepakat khilfah tertegak?kalau muslim china dan india mcmne plak tu…kalau ada seorng cina masuk islam.apa pandgn dia dengn melayu spakat islam berdaulat..aku bukan islam ke?tp aku cina..wallah’alam.

  16. Firdaus says:

    Sebagai bangsa tonggak di Malaysia dan majoriti, bangsa Melayu perlu bersatu dan bertindak memartabatkan Islam. Bangsa lain boleh menyumbang sama. Apa yang berlaku sekarang bangsa Melayu tidak bersatu sehingga kepentingan Islam tidak dipandang serius. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

  17. hikmah says:

    kpd yg x tahu, cuba tanya dr. Ridhuan tee apa pendapat beliau ttg penyataan melayu sepakat?jgn main nak berprasangka2 je ape pendapat para muallaf ni.cuba tanya sendiri dgr dari mulut diorang sendiri apa yg diorang rasa.anda akan temui jawapannya insyaALLAH

  18. ubyz says:

    kpd x tahu> sila baca artikel2 isma yg lps.. sudah banyak dibicarakan ttg itu..
    Wallahua’lam…