Fahaman pluralisme samakan taraf semua agama
SEREMBAN, 1 Oktober - Antara doktrin asas fahaman pluralisme agama ialah menyamakan taraf semua agama di mana mengikut fahaman ini, tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa sebagai benar dan mutlak kerana semua agama adalah bersifat relatif.
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin yang merupakan Naib Presiden I I-Medik berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pluralisme agama.
Menurut beliau, pluralisme agama tidak sama dengan toleransi agama.
“Jika dilihat kepada doktrin fahaman ini, maka ia sememangnya bercanggah dengan apa yang disebut oleh Al-Quran bahawa Islam adalah satu-satunya agama benar dan diterima di sisi Allah SWT.”
Dr. Zainur Rashid akan bertindak sebagai moderator bagi satu wacana anjuran ISMA yang membahaskan tajuk ‘Pluralisme Agama & Ancamannya Terhadap Jatidiri Melayu Muslim’.
Wacana ini dijadualkan berlangsung pada 11hb Oktober 2011 di Danau Golf Club, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Gerakan pluralisme agama di Malaysia, tambah beliau lagi, kini bekerja kuat siang dan malam melalui platform NGO, parti politik dan perjuangan hak asasi kemanusiaan samada disedari ataupun tidak.


