|

Bila jawatan menjadi matlamat dan bukan lagi alat

Cabaran paling besar bagi anak-anak muda yang ditarbiah ialah apabila berada di alam pekerjaan. Waktu ini, akan ramai yang jatuh atau sekurang-kurangnya futur. Walau telah diusrahkan dengan pelbagai bahan tentang kelebihan berada di atas jalan dakwah dan tingginya martabat pejuang di sisi Allah namun bila keluar universiti dan mendapat segulung ijazah ramai yang mula alpa. Bahkan di peringkat mencari kerja pun sudah ada yang mula ‘mendiamkan’ diri padahal ada kemungkinan rakan-rakan seperjuangan mampu membantu.

Bila sudah memegang jawatan, kefuturan akan bertambah tebal dan ia sudah memiliki senjata utama yang boleh dijadikan alat untuk menangkis andaian kawan-kawan.

“Sorry akhi, ana baru dapat kerja… belum boleh menyesuaikan diri lagi”. “Sorry akhi, ana outstation, over time… every time”. “Sorry akhi, ana kena bersaing dengan orang lain sebab bila dapat jawatan tu nanti lebih senang ana nak gunakan untuk meluaskan dakwah kita”. “Sorry akhi, berikan keutamaan pada ikhwah yang dah stabil dulu”.

Kadangkala jawatan yang ia sandang taklah sesibuk mana. Ada sahaja orang lain menjawat jawatan yang sama tapi boleh pun meneruskan amal dan perjuangannya. Bahkan ada orang lebih berjaya dari dia dengan memegang gred dan gaji yang tinggi tapi masih pun ada masa untuk bergerak dan menggerakkan dakwahnya. Sesetengahnya belum berhadapan dengan cabaran berkeluarga dan beranak pinak.

Seorang murabbi pastinya sukar untuk menjawab alasan-alasan tersebut kerana ia tak ada duit untuk menunjukkan bahawa jalan ini jauh lebih berharga dari kehidupan yang lainnya. Jalan ini dari awal diperkenalkan oleh Rasulullah S.A.W memang tidak menjanjikan habuan. Mereka pun tahu. Tapi jalan inilah yang telah membawa para Rasul dan Sahabat Rasulullah ke syurga. Ini kerana, upahnya cuma akan dibayar di sana.

Berjuang bukanlah bererti kena tinggalkan kerja dan gaji yang lumayan. Itu pemikiran yang salah. Bahkan, bekerjalah, kejarlah pangkat dan gaji yang besar… tapi kesudahannya jadikan semua itu wasilah atau alat untuk perjuanganmu. Jangan sebaliknya… bila jawatan dan kerjaya sudah jadi matlamat dan bukan lagi alat.

Yakinilah, akhi akan dapat habuan duniawi tapi belum tentu habuan ukhrawi. Bahkan akhi juga akan terpaksa menjawab soalan yang panjang di hadapan rabbul alamin atas amanah fikrah yang diterima. Pasti waktu itu penyesalan akan tiba.

Photobucket

Oleh: Ustaz Sarip Adul
Yang Dipertua ISMA Kota Kinabalu

Blog: Abu Syifa’

1 Komen untuk entri “Bila jawatan menjadi matlamat dan bukan lagi alat”