|

Tragedi Bukit Kepong: Hormatilah mayat

Salah satu ciri keindahan ajaran Islam ialah ia adalah satu cara hidup yang mengatur hubungan sesama manusia bukan sahaja semasa masih hidup, bahkan ada beberapa adab yang perlu dipertahankan walaupun sesudah kematiannya. Antara adab yang perlu dijaga tetapi sejak akhir-akhir ini semakin tidak diendahkan ialah pencabulan terhadap kehormatan maruah mayat lebih-lebih lagi apabila mayat berkenaan adalah mayat orang Islam.

Dalam media cetak seperti suratkhabar, majalah mahupun media elektronik seperti laman sesawang dan tulisan-tulisan blog sejak akhir-akhir ini semakin tidak menghiraukan adab-adab yang perlu dijaga dengan orang-orang yang telah mati ketika membuat ulasan mengenai isu sensasi peristiwa serangan Bukit Kepong. Saya merasa terpanggil untuk menasihatkan pembaca khususnya orang-orang Islam agar mengawal diri dengan kawalan syara’ ketika mengutarakan pandangan atau pendapat samada memihak kepada anggota keselamatan yang telah mempertahankan balai polis Bukit Kepong mahupun yang memihak kepada Mat Indera.

Antara adab terhadap orang yang telah mati ialah kita dilarang mencela orang yang telah mati. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

لا تسبوا الأموات ، فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا

Bermaksud: “Janganlah kamu mencela mayat kerana sesungguhnya meraka telah mempersembahkan apa yang telah mereka lakukan.” (Hadith sahih riwayat al-Bukhari).

Dalam keadaan tertentu, larangan mencela mayat juga meliputi larangan mencela mayat orang-orang kafir seperti Nabi SAW melarang para sahabat mencela mayat tentera-tentera musyrikin dalam peperangan Badar disebabkan mengelakkan diri dari menyakiti orang-orang yang masih hidup di kalangan saudara-saudara mereka yang muslim.

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يسب قتلى بدر من المشركين وقال لا تسبوا هؤلاء فإنه لا يخلص إليهم شيء مما تقولون وتؤذون الأحياء إلا إن البذاءة لؤم

Bermaksud: Rasulullah SAW melarang celaan kepada tentera-tentera musyrikin yang terbunuh dalam peperangan Badar. Baginda SAW bersabda: “Janganlah kamu mencela mereka kerana celaan kamu itu tidak sampai kepada mereka sebaliknya akan menyakitkan orang-orang yang masih hidup. Yang pastinya perkataan celaan kamu itu adalah satu kehinaan.” (Hadith mursal sahih al-isnad dari kitab Umdah al-Qari)

Apa yang pasti, mayat anggota keselamatan ataupun mayat Mat Indera masih mempunyai waris yang masih hidup. Terselamatkah kita daripada tidak menyakiti waris-waris mereka apabila kita secara tidak berhemah mengeluarkan pandangan semata-mata menegakkan hujjah masing-masing? Kita tidak berani menghukum atas dasar apakah mereka mati sebaliknya selama mana tidak ada tanda yang sangat nyata seseorang itu sebagai kafir maka kita kena menyimpulkan bahawa ia mati sebagai orang Islam. Peranan niat mereka sangat penting untuk meletakkan kedudukan mereka di sisi Allah. Dalam perkara ini, kita serahkanlah ia kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

ايما رجل قال لأخيه يا كافر فقد باء بها أحدهما

Bermaksud: “Mana-mana lelaki berkata kepada saudaranya, wahai kafir maka kekafiran itu akan kembali kepada salah seorang daripada keduanya.” (Fath al-Bari, hadith no 6104)

Berkata Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali: Perkara yang sepatutnya seorang muslim berhati-hati ialah mengkafirkan, menghalalkan darah dan harta orang yang solat mengadap kiblat dan secara terang-terangan mengungkap tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. (al-Iqtisad fi al-I’tiqad h.157)

Imam al-Syahid al-Banna meletakkan panduan yang jelas dan cermat dalam menangani isu melabel seseorang demi menjaga kesatuan umat. Ini jelas dalam usul yang kedua puluh.

“Kita tidak mengkafirkan seorang muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutannya dan menunaikan kewajibannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya melainkan jika beliau mengakui kalimah kufur, mengengkari perkara-perkara agama yang diketahui secara dharuri, mendustakan ayat al-Quran yang jelas pengertiannya, menafsirkan al-Quran dengan penafsiran yang tidak diterima oleh uslub bahasa arab dalam semua keadaan dan melakukan sesuatu yang tidak boleh ditafsirkan selain dari kufur.” (Pandangan semula kepada Risalah Ta’alim, h. 185)

Apa yang dinisbahkan bahawa di kalangan yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong itu sebagai “tali barut” penjajah mahupun “komunis” tidaklah menjadi bukti cukup kuat untuk mewajarkan kita berani menghukum bahkan melabelkan kematian mereka dengan label-label tertentu sehingga mengguris para waris yang seaqidah dengan kita. Biarlah Allah Yang Maha Adil dan Bijaksana mengadili mereka berdasarkan niat mereka masing-masing. Tugas kita sebagai saudara seaqidah adalah mendoakan agar Allah SWT memberi keampunan kepada mereka seperti mana saranan Allah SWT:

والذين جاءوا من بعدهم يقولون ربنا اغفرلنا ولإخواننا الذين سبقونا بالإيمان ولا تجعل في قلوبنا غلا للذين ءامنوا رينا إنك رءوف رحيم

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmatMu”. (Surah al-Hasyr ayat 10)

Namun hakikat yang kita perlu sepakati ialah samada penjajah mahupun ideology komunis selama-lamanya kita tolak kerana ia adalah antara batu-batu penghalang kepada ubudiyyah mutlak kita kepada Allah sebagai hamba dan khalifah Allah.

Kita harus terus melihat ke hadapan dengan menjadikan sejarah sebagai modal yang amat berharga untuk kita mengambil iktibar dan merangka strategi berikutnya bagaimana kita dapat melepaskan generasi akan datang bukan sekadar melepaskan diri dari menjadi tali barut penjajah mahupun komunis tetapi sebagai penghambat kepada ideology-ideologi yang sangat asing dengan ajaran Islam.

Seorang pemikir Islam terkemuka al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali mencadangkan agar sejarah diolah sehingga mampu menggerakkan hati dan membangkitkan keazaman. Apabila ia dibaca dan dikaji, ia memberi kesan kepada jiwa pembacanya, menyemarakkan perjuangan serta mendorong kepada berpegang dengan kebenaran dan setia kepadanya. (Fiqh Sirah)

Ustaz Hj. Zamri bin Hashim,
Naib Yang di-Pertua,
ISMA Perak
Blog: Ustaz Zamri Hashim

* Ustaz Hj. Zamri bin Hashim juga merupakan Timbalan Mufti Negeri Perak.

6 Komen untuk entri “Tragedi Bukit Kepong: Hormatilah mayat”

  1. Hamim says:

    Setuju! Biarlah isu yang memerlukan teknikal akademik dikaji oleh mereka yang sudah berkelayakan dan juga amanah kepada ilmu.

    Mereka yang tak ada ilmu yang cukup tentang peristiwa ini dan asas sejarah tak payah la masuk campur sangat. Utusan pun x payah la memanaskan lagi keadaan….

  2. firdaus says:

    i agree with this article except the last part. saya agak keliru. apa yang dimaksudkan dengan sejarah harus diolah agar mampu memberikan kesan pembacanya?? adakah ini bermaksud sejarah harus ditokok tambah untuk menyemai semangat yg positif dalam kalangan pembaca untuk mengelakkan kejadian sebegini berlaku lagi??

  3. indera says:

    yg dimaksudkan ialah apabila ada yang memberi kenyataan bahwa Mad Indera ini pengkhianat negara, dan dipihak yg lain menuduh polis Melayu sebagai tali barut pada penjajah British.

    Bukan sahaja jahil fakta, tetapi jahil agama dlm menghormati si mati, spt mana ada yg mengungkit2 pula keaipan akhlak Tunku A.Rahman. Kita boleh berbeza persepsi, tetapi bukan membongkar aip si mati walaupun aip itu benar semasa dia masih hidup.

  4. Hassan says:

    Kita tak hidup pada zaman itu.. kita tidak boleh sewenang2nya menuduh Mat Indera dan pihak haluan kiri sebagai pengkhianat bangsa / pengganas atau pejuang fahaman komunis.. sedangkan mereka beragama Islam seperti kita.

    Kita juga tidak boleh sewenang2nya menuduh polis dan tentera pada masa itu sebagai tali barut inggeris kerana kita tdak pasti keadaan masa itu. mgkin mereka terpaksa menjadi polis zaman British utk setitis kehidupan yg susah pada masa itu.

    Namun kita tidak boleh menuduh pihak haluan kiri yang berjuang dengan angkat senjata sebagai pengkhianat kerana jika kita berkata demikian kepada mereka ibarat kita boleh menuduh HAMAS dan pihak yg angkat senjata terhadap Israel juga sebagai pengganas/ pengkhianat kerana tidak mahu berunding damai tanpa senjata dgn Israel.

    Jika Palestian bekerja dengan Kerajaan Israel yg memerintah tanah Palestine, apa akan kita cakap pada mereka? tentu Pengkhianat

    Maka jika Melayu bekerja dengan Kerajaan British yg memerintah Malaya, apa akan kita cakap pada mereka?….

    Hormati Mat Indera dan pihak haluan kiri dan hormati polis.. kita tak layak judge mereka yg hidup pada zaman itu.

  5. Fahmi says:

    isu Mat Indera beri tuah pada PAS dan Mat Sabu pula, berpuluh2 ceramah tlh diadakan dan org datang berpusu2. UMNO terkedu bila cendikiawan yang sgt proUMNO, Prof Zainal Kling terkata bahawa British tak menjajah tetapi menaungi. Maka segera timbul isu baru utk tutup isu Mat Indera iaitu isu cukai prepaid 6& dan mansuh ISA ( inilah taktik lama org politik)

    Paling tidak dapat buka minda anak muda utk tahu sejarah yg tidak tertulis lagi.

  6. faiz says:

    bagi saya, kisah sebenar perlu disiarkan dan diwarwarkan kepada umum. Apabila ada kisah sebenar menurut acuan dan kajian tepat para ahli sejarah, maka ianya perlu disiarkan untuk pengajaran dan supaya penduduk awam tidak terkeliru dengan sejarah negara. Sifat patriotik dan sayangkan tanah air sendiri tidak akan wujud melainkan apabila anak bangsa betul-betul mengenal sejarah bangsa sendiri. Selama ini anak bangsa kita sering dikelirukan dengan fakta akademik dan juga fakta yang diseleweng untuk kepentingan tertentu.

    Gunakan sejarah dan kisah lampau sebagai pengajaran kepada generasi hadapan. Banyak yang kita pelajari daripada sejarah kisah nabi dan juga kisah sahabat dan para tabiien. Tetapi berapa kerat yang tahu sejarah bangsa dan tanah air. Macam mana kita nak tarik perhatian anak bangsa kepada keperluan mendesak mengubah arah tujuan bangsa tanpa asas pengetahuan yang sebenar mengenai sejarah.

    Saya berhadap ISMA boleh dengan berani tampil kehadapan untuk mencerahkan kisah silam bangsa untuk pengajaran bangsa kita. Saya masih menunggu-nunggu langkah susulan ISMA mengenai pendedahan ISMA mengenai sejarah Melak yang menjadi pusat tamadun islam nusantara. Kenapa tidak diteruskan kepada kisah sejarah Islam semasa penjajahan pula.