|

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-54

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada tahun ini kita dapat menyambut ulangtahun Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-54.

Kemerdekaan membawa erti yang sangat besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya. Ia telah membebaskan negara daripada penjajahan barat. Yang paling penting negara bebas membuat keputusan sendiri dalam merangka semua polisi negara.

Kita amat menghargai pengorbanan dan perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah bertungkus lumus untuk mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Moga Allah SWT membalas jasa mereka.

Kita juga bersyukur rakyat negara ini dapat hidup dengan harmoni walaupun mempunyai pelbagai kaum dan agama. Ia bukan satu perkara yang mudah jika tidak kerana polisi atau dasar yang memberi hak kepada setiap kaum untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing dengan bebas.

Sebagai rakyat Malaysia kita harus mempertahankan keharmonian ini.

Ini tidak bermakna kita berpuas hati dengan keadaan yang ada. Banyak aspek lagi yang harus diperbaiki terutama dalam menangani isu hubungan antara agama, hak kebebasan media, kejatuhan nilai moral, serangan ideologi barat yang semakin menular, integrasi kaum dan jurang ekonomi yang semakin ketara antara kaum.

Dalam keghairahan mencapai status sebuah negara maju, kita tidak harus lupa nilai-nilai mulia yang menjadi asas kemanusian dan kehidupan.

Kita juga menyeru semua pihak supaya menghormati kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama yang menjadi asas kesatuan kaum selama ini. Jangan ada pihak yang menuntut melebihi dari apa yang telah ditetapkan.

Kita juga menyeru umat Islam supaya mengenepikan kepentingan politik atau apa-apa kepentingan lain untuk bersatu mempertahankan kemuliaan Islam tanpa berani digugat oleh pihak-pihak lain.

Akhir sekali, kita menyeru semua rakyat untuk mempertahankan negara dari asakan pihak-pihak luar yang sentiasa cuba untuk memusnahkan keharmonian negara.  Semoga detik ulangtahun kemerdekaaan ini memberi peringatan kepada kita semua akan perjuangan para pemimpin dan pejuang terdahulu yang harus kita teruskan.

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung

2 Komen untuk entri “Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-54”

  1. indera says:

    Membaca tulisan Prof Khoo Koi Kim dan ucapan alamarhum Datuk Hassan Ahmad, Malaysia sebenarnya tidak dijajah, sebaliknya ditadbir urus oleh British, dimana Sultan- sultan masih berkuasa. Ini bermakna istilah yang tepat ialah bukan diberi kemerdekaan, tetapi serah urus tadbir oleh British kepada UMNO dan pakatannya ketika itu.

    Ini mungkin khilaf dlm sejarah atau khilaf istilah. Apa pun bangsa Melayu masih dijajah (diurus0 oleh anasir-anasir penjajah dari segi kehidupan harian, cara fikir dan ditambah dengan ketaksuban pada kaum dan kepartian atau persatuan masing2. Tidak dinafikan ada di klngan NGO Islam juga taksub dgn pertubuhan masing2.

  2. Mat Pulau Mutiara @ مدڤولاوموتيار says:

    Tahniah atas keberanian mengingatkan masyarakat umum mengenai ‘kontrak sosial’. Alhamdulillah kemerdekaan berkekalan. Inilah namanya sejarah, pelbagai tafsiran boleh dibuat, yang penting tafsiran mestilah ‘adil dan berlandaskan kajian. Setuju dengan kenyataan Ust. Abdullah tentang ijtihad masing-masing dalam situasi sebelum kemerdekaan. Kita tidak tahu realiti keadaan ketika itu hingga berlaku ijtihad yang berbeza untuk perjuangan kemerdekaan.

    Masalah masyarakat hari ini ialah melihat sejarah tidak meluas dan tidak lebih ke belakang tahun kajiannya. Kebenaran sukar untuk terhasil jika kita hanya melihat sejarah kemerdekaan negara di era 50an. Akibat daripada melihat dan mengkaji sejarah terlalu lewat, kita hanya akan kenal Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman. Realitinya, banyak lagi tokoh yang hebat yang lebih terkehadapan melakar perlembagaana yang hebat sebelum dari United Malaysian National Organization (UMNO) lagi. Contohnya Dr.Burhanuddin Al-Helmi, Ahmad Bostamam dan lain-lain yang tidak didedahkan.

    Berhati-hati dalam menyatakan kaedah kemerdekaan negara. Takut-takut kesilapan kita membaca sejarah terlalu singkat dan tidak melihat perjuangan kemerdekaan di era 30 dan 40an. Jangan lupa darah yang telah tumpah hasil perjuangan Tok Janggut, Dato’ Maharajalela, dan Askar-askar Melayu yang telah terkorban demi kemerdekaan. Fikirlah beberapa kali sebelum kita menerima kenyataan-kenyataan popular dalam sesetengah buku sejarah yang menyatakan ‘Merdeka tanpa tumpah darah’ kerana itu adalah sejarah singkat, jika kita tengok lebih kebelakang, dah banyak darah tumpah sebelum rundingan dijalankan oleh UMNO. Mampukah kita mempertikaikan darah yang pernah ditumpahkan oleh mereka untuk kemerdekaan negara ini? Kemampuan UMNO mendapatkan kemerdekaan melalui rundingan juga adalahj natijah perjuangan-perjuangan hebat yang telah menumpahkan darah sebelumnya.