Perutusan takziah buat keluarga Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad
Presiden ISMA dan seluruh Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA mengucapkan takziah kepada keluarga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hassan Ahmad di atas pemergian beliau ke rahmatullah pada 31 Ogos yang lalu.
Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir di rumah beliau di Petaling Jaya dipercayai akibat serangan penyakit jantung.
Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. ISMA mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-’Imran: 185)
Allahyarham yang terkenal sebagai seorang tokoh pejuang dalam mendaulatkan Bahasa Melayu di negara ini pernah dijemput untuk membentangkan satu kertas kerja bertajuk “Kejatuhan Melaka Satu Tragedi kepada Jatidiri Bangsa Melayu dan Islam” dalam Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka anjuran ISMA pada 29 Januari 2011.


