Peranan humanisme & bahayanya kepada jatidiri ummah (Bhg. 2)
ANCAMAN HUMANISME KEPADA JATIDIRI UMMAH
Humanisme datang dalam berbagai-bagai rupa dan bentuk untuk mengelirukan umat Islam. Era pasca moden adalah hasil daripada fenomena humanisme yang menyaksikan agenda globalisasi yang dicanangkan oleh Barat berjaya mencairkan keperibadian umat Islam melalui dunia tanpa sempadan, komunikasi tanpa jarak dan waktu, kehidupan yang aktif 24 jam tanpa henti dan rehat. Antara yang banyak mempengaruhi keperibadian umat Islam terutama golongan wanita dan remaja ialah sebaran am seperti televisyen dan hubungan tanpa wayar iaitu internet.
Sebaran am terutama televisyen mampu menampilkan simulasi dan mod yang boleh meledak memenuhi ruang kehidupan sosial, sehingga mengaburkan antara citraan dan fakta. Citraan ini menjadi lebih nyata berbanding dengan realiti. Inilah ciri dunia pasca moden. Di mana realiti sebenar kalah oleh citraan dan penampakan media. Sebagai contoh, Madonna dan Rambo menjadi ikon media sehingga manusia merasai ia lebih nyata berbanding jiran kita sendiri (Wood 2001).
Kuasa daripada sebaran am, terutama audiovisual, telah menembus batasan-batasan budaya dan negara hingga mencapai besaran global. Kemudian kewujudan budaya konsumerisme dan kini telah menjadi gaya hidup global sebagai bentuk ungkapan citarasa akan kebebasan individu untuk menentukan pilihan secara bebas. Akibatnya, ragam wacana dan kesatuan budaya yang dahulu tersekat-sekat secara wilayah, bertemu dalam tingkat yang sangat intensif dan secara bersama tampil dalam media.
Idea falsafah, khutbah agama, sains fiksyen, naratif kuno disampaikan secara cerita komik, juga hadir sebagai pakej persembahan media. Dalam keadaan demikian, pandangan moden yang melihat realiti sebagai satu keutuhan yang ditatap berasaskan prinsip rasional menjadi tidak relevan lagi. Era media menawarkan realiti lain, realiti yang dirasakan melampaui perpecahan.
Di sinilah pasca moden dengan kepelbagaiannya hadir sebagai bentuk kepekaan baru terhadap realiti baru tersebut (Ardie 2009). Impak daripada kemunculan pasca moden ini juga menyaksikan kemunculan gerakan feminisme atau hak asasi persamaan gender. Demokrasi yang diamalkan di negara-negara dunia ketiga menyaksikan gerakan berjaya muncul ke permukaan. Ini merupakan satu kejayaan kepada kaum feminisme sebagai hasil daripada era pasca moden (Azmi 2002).
Gerakan feminisme di Malaysia kuat dipengaruhi oleh gerakan feminisme di Barat, lebih bermotif reformasi sosial dan politik golongan wanita. Gerakan ini didukung oleh wanita elit dan menengah atasan yang berpendidikan tinggi. Mereka begitu tertarik kepada gerakan feminisme di Barat yang membangkitkan soal keadilan sosial, kesaksamaan, hak kemanusiaan, hak wanita, liberalisasi kaum wanita, dan pelbagai pendekatan yang berpusat pada kepentingan dan pandangan yang memihak dan menyebelahi wanita.
Dengan mengeksploitasi pelbagai isu yang bukan sahaja bersifat gender bias, kebanyakan pejuang gerakan feminisme terperangkap oleh isu asas yang masih dihadapi oleh masyarakat negara membangun. Golongan feminisme tempatan yang jahil tentang agama dan begitu terpengaruh oleh Barat sering mencemuh agama dan gagal memahami pengajaran agama Islam dalam membawa perubahan nasib wanita yang amat jumud kedudukannya pada zaman jahiliah.
Pada zaman jahiliah moden, wanita diperalat dengan pelbagai cara. Pergerakan liberalisasi wanita umumnya membuka ruang yang lebih luas kepada eksploitasi wanita dalam pelbagai bidang. Wanita menjadi alat komersial yang begitu canggih dan mudah digunakan untuk pelbagai tujuan. Dari satu segi, gerakan feminisme bertujuan untuk melindungi kepentingan wanita yang semakin terancam, mengalami keruntuhan moral dan akhlak, dan kehilangan idealisme dan hala tuju. Dari segi yang lain, gerakan ini bertujuan untuk memberi lebih banyak kebebasan dan menuntut hak yang lebih luas mengatasi lelaki (Abd. Rahim Abd. Rashid 1998).
Kesan dari humanisme ini, golongan minoriti seperti gay, lesbian, pelacur dengan beraninya meminta hak dan kebebasan mereka mengamalkan budaya keji sebagai satu yang sah di sisi undang-undang. Perkahwinan antara gay, lesbian telah menjadi amalan masyarakat Barat. Hari ini budaya itu telah menular dalam masyarakat kita, isu Mohd. Asyraf Hafiz atau Aleesya, Mohd. Fazdil Min Bahari atau Fatine dan Ou Yang Wen Peng sudah cukup menggambarkan kesan kita bermudah-mudah dengan liberalisme ini membuka ruang kepada mereka untuk menuntut melakukan sesuatu yang diluar batas budaya mana-mana agama atas nama HUMAN RIGHT.
KEGAWATAN SOSIAL DALAM ERA GLOBALISASI
Masyarakat Malaysia tidak terlepas daripada menerima kesan dan impak daripada idea pasca moden yang berlaku di seluruh dunia. Sifat kasih sayang sesama manusia semakin terhakis, keganasan bermaharajalela dan wujud kecenderungan bertindak kejam dan ganas. Nilai-nilai akhlak semakin hilang kedudukannya di mata masyarakat. Amalan keji dan budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai akhlak berleluasa di merata tempat.
Kes buang bayi, penderaan kanak-kanak, merogol, merempit, meragut, membunuh, samseng jalanan, membuli, merompak, menagih dadah dan sebagainya berleluasa di seluruh negara. Masyarakat sudah merasa tidak selamat dalam rumah sendiri. Anak-anak tidak selamat tinggal dengan ibu bapanya. Gadis-gadis tidak selamat di rumah dan di jalanan. Masyarakat kita hari ini diselubungi dengan kekeliruan. Keliru tentang identiti dan jati diri yang perlu menjadi pegangan dan anutan. Krisis moral dan politik melanda masyarakat dengan seriusnya. Masyarakat kita berhadapan dengan krisis ekonomi dan sosial. Masalah berpunca daripada kepincangan akhlak, kehilangan role-model, mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada kepentingan umum, takut untuk berhadapan dengan kenyataan dan tidak mahu memikul tanggungjawab.
Fakta yang dikeluarkan oleh berbagai-bagai agensi kerajaan menunjukkan betapa besar masalah sosial yang melanda masyarakat kita. Yang lebih mengharukan lagi ialah penglibatan golongan Melayu dalam berbagai-bagai masalah keruntuhan akhlak. Berikut adalah beberapa fakta untuk direnungi bersama;
1- Data yang dikeluarkan oleh Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada tahun 2005 menunjukkan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150–160 gadis tempatan yang ditahan setiap tahun. Dianggarkan 150 ribu wanita terbabit dalam kegiatan pelacuran dengan sejumlah besarnya adalah wanita dewasa.
2- Perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2009, mencatatkan antara tahun 2000-2008 sebanyak 257,000 sijil kelahiran tidak mencatatkan nama bapa pada surat pendaftaran kelahiran. Purata kelahiran anak luar nikah sebulan ialah 2,500 orang dan purata seminggu kelahiran anak luar nikah ialah 84 kes. Antara tahun 1999–2003 kelahiran anak luar nikah adalah seramai 70,430 orang dengan 30,978 orang daripadanya adalah dari ibu yang beragama Islam. Berlaku peningkatan kelahiran anak luar nikah dari kalangan ibu Melayu pada setiap tahun. Pada tahun 2008, anak luar nikah Melayu ialah 16,541 telah meningkat kepada 17,303 orang pada tahun 2009.
3- JPN 2009 juga telah mencatat sejumlah 102 kes buang bayi telah dilaporkan. Sebanyak 580 orang bayi telah dibuang dalam tempoh 2000-2006 (PDRM 2008). Setiap kali berakhirnya sambutan yang membabitkan kemeriahan pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes buang bayi dan mengandung anak luar nikah. Tempoh ini ibarat “musim mengawan” kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan dan seluruh negara akan mencatat kes buang bayi sama ada masih hidup atau janin yang dibuang dalam semak, belakang rumah, pusat pembuangan sampah, bawah pokok, dalam longkang dan juga tandas.
4- PDRM 2008 juga telah mencatat jumlah wanita yang dirogol semakin bertambah dari tahun ke tahun dengan negeri Selangor dan Johor mencatat jumlah mangsa rogol yang paling ramai.
5- Statistik yang dikeluarkan oleh PDRM 2008 berkaitan tangkapan juvana yang melibatkan jenayah kekerasan dan harta benda menunjukkan jumlah pasalah Melayu pada tahun 2007 adalah seramai 5847 orang berbanding dengan bangsa China seramai 575 orang, India seramai 830 orang dan bangsa lain seramai 713 orang.
6- Laporan Dadah Julai 2008 yang dikeluarkan oleh Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) menunjukkan jumlah penagih dadah dari bangsa Melayu sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2007, jumlah penagih Melayu ialah 7,359 orang berbanding bangsa China seramai 1,413 orang dan India seramai 1,165 orang. Jumlah penagih berkurang pada tahun 2008 kepada 5,992 bangsa Melayu, 1,008 bangsa China dan 779 orang bangsa India. Walau bagaimanapun bangsa Melayu tetap juara.
7- Penglibatan wanita Melayu dalam dunia peragaan, ratu cantik, pengiklanan komersial, gadis bola, gadis grand prix, lakonan, nyanyian dan tarian, yang jelas mencemar nama baik agama Islam. Jumlahnya terlalu ramai sehingga tidak terhitung. Akademi Fantasia, Mentor, Mari Berdansa dan lain-lain.
Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita ISMA
Blog: The Sweetness of a Partnership


Ya allah…