Keperwiraan & keprihatinan Noramfaizul angkat kedudukan petugas media
BANGI, 5 September – Sifat keperwiraan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor telah mengangkat kedudukan petugas media kepada satu tahap baru dalam masyarakat khususnya di Malaysia.
Menurut Pengerusi Biro Media & Penerangan ISMA, Dr. Kamil Azmi Tohiran, pengorbanan ikhlas yang telah diberikan oleh jurukamera BernamaTV tersebut yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, merupakan sesuatu yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT.
“Allahyarham Noramfaizul boleh memilih untuk bergembira bersama keluarga di hari raya, tetapi rasa keprihatinan yang semakin luntur dalam masyarakat kini telah menggerakkan diri beliau. Natijahnya, setiap ringgit yang dihulurkan kepada mangsa kebuluran dan konflik di Somalia hasil ‘sentuhan’ beliau akan menjadi amal jariah yang berkekalan.”
Dr. Kamil turut menggesa agar tidak ada pihak yang cuba mendapatkan ‘mileage’ politik daripada musibah ini dengan mensensasikan perkara yang tidak berkaitan, kerana ia pasti akan menghiris hati keluarga Allahyarham.
“Kita mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan mendoakan semoga mereka dikurniakan kesabaran dan kecekalan dalam menghadapi ujian ini.”
Bagi pihak ISMA, Dr. Kamil juga mendoakan agar Saudara Aji Saregar Mazlan, jurukamera TV3 yang cedera dalam kejadian yang sama segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa.

