|

ISMA penuhi undangan ke Majlis Berbuka Puasa ACCIN

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah memenuhi undangan ke Majlis Berbuka Puasa anjuran Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN) di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara di sini semalam.

Delegasi ISMA diketuai Timbalan Presiden, Tuan Hj. Aminuddin Yahaya. Turut sama ialah Setiausaha Agung, Dr. Amiruddin Wahab dan Pengerusi Biro Dakwah, Ustaz Abdul Halim Abdullah.

Majlis ini juga dihadiri oleh pimpinan NGO-NGO Islam lain terutamanya di kalangan anggota-anggota ACCIN.

Menurut Ustaz Abdul Halim, kehadiran wakil-wakil daripada pelbagai NGO Islam ini adalah petanda positif dalam aspek kesepakatan umat sesuai dengan perintah supaya orang Islam saling membantu dalam perkara kebajikan dan taqwa.

“Kesepakatan umat Islam di Malaysia bermula dari kesepakatan pimpinan-pimpinan mereka. Kita lihat badan-badan dakwah sudah boleh bersepakat, parti-parti politik bila lagi? Jangan pula bila nasi sudah menjadi bubur,” tambah beliau.

ACCIN merupakan gabungan terbesar pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia yang dianggotai oleh lebih 100 buah pertubuhan termasuk ISMA.