ISMA KK sampaikan sumbangan hari raya kepada penduduk Kg. Kobuni
KOTA KINABALU, 13 Ogos – Seramai 19 orang yang terdiri daripada 7 orang saudara baru serta 12 orang warga emas dan anak-anak yatim di kalangan peduduk Kampung Kobuni, Kionsom, Inanam telah menerima sumbangan hari raya daripada ISMA Kota Kinabalu.
Penyerahan sumbangan ini telah berlangsung dalam satu majlis berbuka puasa anjuran ISMA KK bersama masyarakat di sini. Lebih 70 orang penduduk bersama-sama kira-kira 30 orang ahli ISMA telah menghadiri majlis yang diadakan di Surau Al-Aqsa kampung tersebut.
Sumbangan hari raya tersebut telah disampaikan oleh Dr. Hatta Tarmizi, Naib YDP ISMA KK dan Ustaz Abdul Imam Basirun selaku Ketua Biro Dakwah ISMA KK.
Program ini dilaksanakan bagi mengimarahkan suasana Ramadhan di kalangan masyarakat setempat, di samping membina jaringan ukhuwwah di antara ahli-ahli ISMA dan penduduk Kampung Kobuni yang merupakan satu perkampungan mualaf yang 100% terdiri daripada masyarakat Muslim.
Ketua kampung tersebut iaitu Saudara Duhaimin Abdullah dalam ucapannya berterima kasih atas kesudian pihak ISMA meluangkan masa bersama mereka dan berharap agar program ini akan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih besar pada masa akan datang.
Sumber: Laman Web ISMA Sabah


