|

Hayati ungkapan pemuda tunjang perubahan – Dr. Kamsani

BANGI – “Ungkapan pemuda adalah tunjang kepada perubahan tidak seharusnya menjadi satu ungkapan klise, sebaliknya perlu dihayati dan dirasai oleh golongan pemuda.”

Pengerusi Biro Belia ISMA, Dr. Ahmad Kamsani Samingan berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Luar Biasa Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) 2011 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Menurut beliau yang juga merupakan Penasihat PEMBINA, golongan belia memiliki potensi dan kemampuan yang besar. Keupayaan belia telah terbukti dengan peranan besar yang mereka mainkan dalam mempengaruhi lanskap dunia sepanjang sejarah.

Bahkan di dalam Al-Quran, Allah SWT menceritakan tentang kisah pemuda Al-Kahfi dengan menggunakan perkataan “naba’” yang menggambarkan satu hakikat yang hebat sebagaimana kalimah tersebut digunakan untuk peristiwa-peristiwa penting lain.

“Oleh itu, ahli-ahli PEMBINA perlu menghayati hakikat ini dan memperkasakan diri supaya mampu berperanan dalam masyarakat.”

Berucap di hadapan lebih 100 perwakilan PEMBINA yang datang dari seluruh negara, Dr. Kamsani turut mengingatkan pentingnya golongan belia mengambil pandangan golongan senior yang lebih berpengalaman supaya potensi mereka dikendalikan dengan baik. Gandingan seimbang antara kedua-dua golongan ini penting untuk menjayakan projek Islam yang dicita-citakan.

Beliau turut menekankan perlunya PEMBINA mengambil usaha serius untuk memasarkan fikrah dan solusi yang dipelopori oleh ISMA di kalangan masyarakat belia terutamanya mahasiswa, selaras dengan kedudukan PEMBINA sebagai agensi belia ISMA.