|

Statistik murtad: Para pendakwah perlu giatkan usaha

SEREMBAN, 16 Jun – “Umat Islam khususnya golongan pendakwah perlu bekerja lebih kuat dan mempergiat usaha-usaha dakwah di kalangan masyararakat bagi membendung gejala murtad,” tegas Ustaz Abdul Halim Abdullah.

Ketua Biro Dakwah ISMA itu mengemukakan seruan berkenaan ketika mengulas laporan yang mendedahkan Mahkamah Syariah menerima sebanyak 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010.

Daripada jumlah itu, sebanyak 168 permohonan murtad telah diluluskan.

Statistik ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam sesi Dewan Rakyat beberapa hari yang lepas.

Menurut Ustaz Halim, ISMA melalui Biro Dakwahnya akan berusaha membina lebih banyak institusi masyarakat bagi memberi kebajikan, pendidikan dan dakwah kepada mereka.

“Kita juga kena meningkatkan lagi kerja-kerja perkaderan di kalangan masyarakat, bukan sahaja di kalangan remaja dan belia, tetapi juga di kalangan golongan dewasa.”

Beliau turut menyarankan agar pihak penguatkuasa agama dan NGO-NGO Islam membuat kajian terhadap golongan yang murtad itu, dari aspek demografi, umur dan tahap sosial mereka. Rumusan yang terhasil daripada kajian tersebut kemudian harus disusuli dengan tindakan.

Dalam perkembangan yang sama, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid memberitahu bahawa kebanyakan permohonan untuk keluar Islam dibuat oleh golongan mualaf yang baru memeluk Islam.