|

I-Medik raikan Hari Jururawat bersama pelajar kejururawatan

SEREMBAN, 21 Mei - I-Medik Negeri Sembilan berkesempatan meraikan Hari Jururawat bersama jururawat pelatih di Kolej Jururawat Seremban. Program ini bertujuan untuk meraikan para jururawat dengan menyajikan informasi-informasi yang penting untuk melahirkan jururawat yang mempunyai jatidiri dan melihat kerjaya jururawat sebagai amanah dan tanggungjawab bukan sekadar gelaran.

Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Puan Kalawathy selaku wakil kolej dan dituruti oleh Prof Madya Dr Zainnur Rashid bagi memperkenalkan I-Medik kepada peserta. Pelbagai reaksi positif diberikan oleh peserta dengan paparan program-program I-Medik. Tidak kurang juga yang menyatakan kesediaan untuk menjadi sukarelawan I-Medik seawal program.

Kemudian disambung dengan pembentangan pertama bertajuk “Jururawat, mulianya tugasmu,” oleh Dr Anizan Abd Manaf berkelulusan Master in Public Health dan berkhidmat di Hospital Putrajaya dengan pembentangan yang membuka mata tentang mengapa kita menyambut Hari Jururawat dan tokoh-tokoh Islam yang hebat pada zaman dahulu yang melaksanakan tugas sebagai jururawat dengan amanah dan dedikasi.

Bagi menyegar mata peserta, selingan permainan ‘ice breaking games: poison box” diadakan dan dikendalikan oleh Dr Naziah yang kini berkhidmat di KPJ Seremban. Permainan ringkas ini hanya memerlukan para peserta tetap di tempat duduk sendiri dan kotak diedarkan mengikut lagu nasyid yang diputarkan. Para peserta sungguh terhibur dan memberi kerjasama yang baik dalam melaksanakan denda yang dikenakan.

Selepas berhenti rehat, pengisian seterusnya disajikan oleh pasangan suami isteri iaitu Dr Norizam dan Dr Yusuf Abbas dengan tajuk “Ekspresi Cinta Remaja Wanita”. Pengisian yang santai dan menghiburkan memberi kesan yang mendalam dalam memahami aspek yang mendorong remaja wanita terjebak dengan masalah seksual dan menekankan bahawa setiap individu adalah bertanggungjawab dalam membuat keputusan untuk diri mereka sendiri dan pentingnya membina hubungan erat dengan Allah swt.

Pelbagai soalan diajukan oleh para peserta tentang kerjaya, aspek agama serta mengenai I-Medik di hujung aturcara. Pelbagai cadangan untuk mengeratkan hubungan antara I-Medik dan jururawat pelatih diutarakan oleh pihak kolej dan pelatih sendiri. Sebilangan besar peserta mendaftar nama sebagai sukarelawan termasuk peserta bukan Islam yang berminat.

Sumber: Laman Web I-Medik