|

Hari Keluarga ISMA Sarawak perkukuh rasa kebersamaan

SANTUBONG – Bertemakan “Ukhuwah Erat, Keluarga Sepakat, Dakwah Berkat”, program Hari Keluarga ISMA Sarawak 2011 (HKIS‘11) telah berlangsung dengan jayanya di Saptuyah Homestay, Pasir Panjang.

Lebih menyerikan lagi program ini turut dihadiri oleh pasangan pengantin baru. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan dan perasmian oleh YDP ISMA Cawangan Kuching, Dr Mohd Khairol bin Jambli. Seterusnya para peserta sama-sama menyanyikan lagu ISMA dan lagu tema HKIS 2011.

Program diteruskan dengan pelbagai aktiviti luar di kawasan pantai. Walaupun cuaca begitu panas membahang, namun semua peserta menempuh aktiviti dengan begitu bersemangat.

Pada sebelah petangnya pula, tempat aktiviti berpindah ke ruangan Saptuyah Homestay. Peserta lelaki mencurahkan kepakaran mereka dalam Pertandingan Memasak, manakala peserta wanita menjalankan beberapa acara sukaneka.

Majlis penutupan berlangsung selepas solat Asar. Dimulakan dengan perasmian laman sesawang Team Ekonomi ISMA Sarawak, penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sempena HKIS’11, deklamasi johan pertandingan sajak oleh saudara Abdul Gafar bin Mahdi dan diakhiri dengan ucapan penutupan oleh YDP ISMA Kuching. Diharapkan dengan adanya program seumpama ini mengeratkan lagi hubungan ukhuwwah dan rasa kebersamaan antara ahli ISMA negeri Sarawak.

Sumber: Laman Web ISMA Sarawak