|

Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi

Sehari dua lepas umat Islam seluruh dunia menyambut baik akan keputusan Fatah dan Hamas untuk bersatu. Walaupun kita tidak tahu adakah ia akan sampai ke penghujung atau tidak namun berita ini tetap disambut dengan sujud syukur oleh masyarakat Islam antarabangsa. Apa tidaknya, kalaulah dikira perbezaan ideologi politik maka sudah tentu ia sesuatu yang mustahil. Yang satu fahaman nasionalis dan baik dengan Amerika dan Israel manakala yang satu lagi fahaman Islam yang menjadikan Amerika dan Israel musuh utama.  Namun kebangkitan rakyat di negara Arab memberi kesan dalam pandangan politik mereka yang mendesak mereka untuk besatu demi kepentingan bangsa dan agama.

Adakah ini juga mungkin berlaku di Malaysia?

Bagi saya, ini akan hanya berlaku jika pemerintah bersedia membersihkan dosa-dosa mereka dan kesediaan pembangkang untuk memaafkannya. Selagi ini tidak berlaku, saya tidak nampak penyatuan ini akan terjadi.

Pelbagai salah laku yang dibuat pemerintah bukan saja menyebabkan masyarakat membenci mereka malah lebih parah lagi masyarakat sudah mula hilang pertimbangan, samada dari segi logik aqal mahupun logik syarak. Apa tidaknya :-

- apabila kita menentang gerakan Kristian – kita dikatakan sama dengan pemerintah.

- apabila kita melaungkan kesatuan – kita dilabel menyokong salah laku pemerintah.

- apabila kita meminta orang islam menjadi pemimpin – kita dikata tidak rasional

- apabila kita memperjuangkan kesatuan Melayu Islam – kita dikata rasis.

- hanya apabila kita mengkritik pemerintah – baru kita akan digelar golongan yang benar.

Saya tidak menyalahkan rakyat kerana semua kenyataan ini melambangkan kebencian yang meluap-luap terhadap pemerintah. Pemerintah harus bersedia untuk berubah jika ingin terus relevan. Tidak guna pemerintah melaungkan kesatuan jika mereka tidak bersedia untuk kompromi. Lebih menyedihkan, kejengkelan masyarakat kepada pemerintah sampai ke peringkat apa saja kebaikan yang pemerintah lakukan akan dilihat sebagai helah politik. Malang juga, NGO Islam yang tidak menyebelahi mana-mana parti tetapi hanya memperjuangkan kebenaran juga terpalit dan dilabel dengan pelbagai gelaran.

Way Forward?

Pemerintah tidak boleh mengharapkan pembangkang untuk bersatu, atas dasar apa sekalipun,  jika mereka sendiri tidak bersedia untuk berubah. Bagi saya penyelesaiannya terletak pada pemerintah kerana seorang pemimpin pembangkang sudah menyatakan kesediaan untuk membubarkan parti jika pihak pemerintah menukar dasar perjuangan mereka. Keegoan pemerintah perlu diketepikan jika ingin terus survive dalam arena politik abad ke-21 ini. Mereka harus belajar dari Hamas dan Fatah.

Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung

2 Komen untuk entri “Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi”

  1. m nazri says:

    Saya pernah bincang apa yang dilakukan oleh PEMBELA dengan seorang DR PHD pensyarah universiti.Apa yang dia jawab,anta kena baca Christianity now BN’S Convenient Spacegoat; dalam Malaysiakini.Rujukannya ialah DAP fahaman Sosialis!

  2. abu nada says:

    itulah wajah dunia atau medan politik. Dunia politik sebenarnya rapuh. Ia tiada kelainan dan kekuatan yang benar-benar ampuh. Ia hanya satu permainan dan bukan sebuah perusahaan. Apa-apa permainan pun jika sudah tamat masanya, tiada siapa yang boleh meneruskan permainan. Jika dimainkan semula pun mungkin akan dimainkan oleh pasukan yang lain. Dan bergantung kepada peraturan yang disepakati.

    Maka tabiat masyarakat hari ini sebenarnya adalah hasil dari agenda atau budaya politik yang rapuh dan nipis ini. Ia tiada agenda yang lebih besar dari kuasa dan kekayaan. Hanya dua perkara ini yang menjadi pertaruhan dalam politik. Jika tiada salah satunya atau kedua-duanya maka tiada lagi harapan untuk hidup dalam politik.

    Dunia politik hari ini yang ditunjangi oleh demokrasi memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk mengubah atau mempertingkatkan kualiti amalan politik. Tetapi sebagai seorang muslim yang mewarisi jenama Islam sebesar tanah melayu serta kepulauan Borneo, seharusnya kita perlu memikirkan secara rasional tentang niat kita dalam usaha mahu menambahbaik apa yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang Islam dan bangsa kita. Ini kerana ruang dan peluang politik dalam dunia demokrasi barat tidak sama seperti peruntukan yang ada dalam dunia politik Islam ( bukan parti pilitik Islam). Dalam Islam peluang memperbetulkan dunia politik telah punyai aturan dan kaedah-kaedahnya. Sebagaimana kalau kita mahu memperbetulkan sistem atau produk ekonomi Islam. Tapi ruang atau wajah politik demokrasi di barat tidak sedemikian. Mereka hanya banyak meneka-neka dan mencuba dalam usaha mahu memperbetulkan keadaan ke arah yang lebih baik, kerana mereka tidakmendapat rujukan dari al-quran dan hadis nabawi.

    Maka peluang untuk islam mendapat ruang dan hak yang selesa dalam usaha memperbetulkan keadaan politik atau sosial adalah cerah. Kerana imej Islam yang wujud dalam negara kita, telah menjadikan prinsip-prinsip Islam dan etikanya difahami oleh semua umat Islam khasnya. Peratus kejayaan dalam usaha mengubah kesilapan atau mempertingkatkan kualiti pengahayatan kepada nilai-nilai Islam dan baik adalah tinggi.

    Akan tetapi jika kita terus mengikut rentak pengamal-pengamal politik hari ini, walau apa niat dan lambang sekalipun, ia adalah mustahil. Lebih-lebih lagi jika dilakukan tanpa kekayaan dan kekuasaan.

    Islam adalah satu kuasa. Tapi Islam akan hilang kuasa jika hanya bergantung kepada kuasa. Kerana Islam adalah sistem kehidupan yang menyeluruh. Islam juga adalah amanah yang perlu disampaikan dan bukan sekadar jenama yang diwarisi. Maka tidak timbul persoalan, bila lagi kita mahu jadi juara dengan jenama Islam ini ! Kerana semuanya milik Allah dan semua orang berhak menuntut haknya.