|

Kutipan melebihi jangkaan di SOS Ireland

DUBLIN – ISMA Ireland telah berjaya mengumpulkan jumlah kutipan tabung Palestin melebihi €6000 bersempena Roadshow Palestin (RSP) : Searching For Solahuddin (SOS) sesi Ireland yang melabuhkan tirainya pada malam kemuncak bertempat di Malaysia Hall (MH) Dublin.

Hampir 100 penonton dari seluruh Dublin yang rata-ratanya merupakan pelajar perubatan telah menghadiri upacara tersebut.

Majlis tersebut turut disertai tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari jabatan MSD, MARA dan JPA serta pemimpin-pemimpin persatuan pelajar di Ireland.

Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Amirul Asyrof dimulakan pada jam 6.00pm dengan bacaan doa, kemudian diteruskan dengan sesi ceramah oleh Dr. Zainurrashid Zainuddin, penceramah jemputan yang diterbangkan khas dari Malaysia.

Dr. Zainurrashid yang merupakan bekas pelajar perubatan Ireland telah mengisi dua slot ceramah dengan tajuk “Fiqh Perubatan: Satu Pengenalan” dan “Intifadhah Palestin”.

Majlis tersebut turut menampilkan saudara Mohd Amirul bin Hamudin yang telah mendeklamasikan sajak yang bertajuk “Apologi Buat Seorang Adik”.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang telah dianjurkan oleh ISMA Ireland dengan kerjasama IMAM (Ireland chapter) sepanjang tiga minggu Roadshow Palestin di sana.

Antara aktiviti yang dipertandingan adalah membuat poster, memasak  dan kuiz yang  bertujuan untuk mengajak pelajar Islam Malaysia menghayati dan lebih cakna tentang penderitaan rakyat Palestin, sesuai dengan ‘Kempen 5’ yang dicanangkan pada sepanjang Roadshow tersebut.

Kemuncak kepada majlis ini adalah upacara penyerahan cek hasil kutipan tabung Roadshow Palestin oleh Pengarah MARA Ireland, Encik Azlan Osman yang mewakili seluruh warga Ireland kepada Dr. Zainurrrashid yang juga merupakan perunding Aman Palestin Bhd.

Malam Penutup RSP: Searching For Solahuddin (SOS)  ditamatkan dengan laungan ikrar solidariti Palestin oleh kesemua penonton yang hadir.

Sumber: Laman Web ISMA Eropah