|

Seminar Obor Kasih Zon Selatan

SKUDAI, 10 April -  Kira-kira 120 orang peserta telah menyertai Seminar Obor Kasih 2011 anjuran Biro Wanita dan Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor Bahru bertempat di Dewan Kuliah P19, Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor baru-baru ini.

Seminar yang julung-julung kali diadakan di negeri Johor ini bertemakan “Keluarga Positif, Dakwah Efektif” dan bertujuan untuk memberi panduan kekeluargan kepada kalangan ahli ISMA yang telah mendirikan rumah tangga.

Seminar ini telah meletakkan tiga objektif asas iaitu untuk berusaha membina dan mengekalkan seluruh anggota keluarga sebagai aktivis dakwah, mendedahkan cara berkomunikasi yang berkesan antara pasangan dan menjadikan keluarga ISMA sebagai contoh kepada ahli ISMA dan masyarakat amnya.

 

Pengarah seminar yang juga merangkap Ketua Wanita ISMA Cawangan Johor Bahru, Azizah Che Awang berkata sebagai penganjur utama seminar ini, Wanita ISMA adalah salah satu biro yang penting di bawah organisasi ISMA Pusat dan cawangan.

Wanita ISMA sedaya upaya ingin mengajak masyarakat Malaysia supaya menghayati kehidupan Islam yang suci dengan menganjurkan berbagai-bagai program kesedaran yang berkaitan dengan kewanitaan dan kekeluargaan.

Oleh itu katanya lagi, Wanita ISMA berhasrat untuk memikul bersama-sama masyarakat Malaysia dan bertanggungjawab mendidik kaum wanita dan keluarga serta anak-anak ke arah kehidupan yang seimbang, sihat dan sejahtera dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Di antara penceramah terkenal yang diundang adalah Professor Dato’ Dr. Sidek Baba yang merupakan seorang tokoh Pendidikan Negara dari Universiti Islam Antarabangsa dengan tajuk ceramahnya ‘Ibu Bapa Mithali, Anak Diberkati, Syurga Menanti’.

Beliau memberi penekanan kepada pentingnya pembentukan keluarga muslim yang diharapkan mampu melahirkan generasi taqwa kerana Islam memberikan asas ketaqwaan sebagai ukuran kecemerlangan dalam kehidupan.

Penceramah kedua pula iaitu Ustaz Rushdi Alias, ahli Jawatankuasa ISMA Pusat telah berkongsi tip-tip kekeluargaan yang relevan untuk memantapkan peranan ahli-ahli ISMA dalam institusi-institusi kekeluargaan.

Seminar disambung dengan slot forum perkongsian pengalaman yang telah membincangkan panduan-panduan dan petua-petua rumahtangga  dari empat orang ahli panel iaitu dua pasangan suami isteri yang telah melalui pengalaman melebihi 25 tahun perkahwinan.

Majlis perasmian penutup Seminar Obor Kasih ’11 ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua ISMA Cawangan Johor Bahru iaitu Tuan Hj. Tahir Hamdan

Dalam ucapannya, beliau telah mengingatkan para peserta agar tidak mengabaikan aspek keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga termasuk memberikan hak yang sepatutnya kepada isteri dan anak-anak walaupun sibuk berkerjaya dan berdakwah kepada masyarakat.

Beliau juga menyarankan agar seminar seperti ini perlu dianjurkan untuk masyarakat umum agar manfaatnya dapat dikongsi bersama apatah lagi jika melihatkan kepada statistik penceraian di kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan.