70 belia harungi cabaran Perkhemahan Belia Islam Johor 2011
GUNUNG PULAI – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor telah menjayakan perkhemahan tahunan belia Islam peringkat negeri Johor anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang disertai oleh seramai 70 orang belia daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, doktor, jurutera, guru dan penjawat awam lain.
Berobjektifkan ukhuwwah atau semangat persaudaraan di kalangan peserta, aktiviti-aktiviti yang dijalankan telah disusun agar para peserta dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam.
Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan antaranya pendakian ke Gunung Pulai, mandi air terjun, permainan bola sepak sambil menutup mata, gusti lutut dan pelbagai aktiviti berkumpulan lain yang bertujuan untuk menguji semangat setiakawan antara peserta dan menguji kepintaran dan strategi setiap kumpulan dalam mengalahkan kumpulan lain.
Kemuncak kepada perkhemahan ini adalah malam persembahan di mana setiap kumpulan telah diberi masa untuk mencipta lagu sendiri untuk sebuah lirik yang telah diberikan.
Sepanjang perkhemahan tersebut, para peserta juga telah diberikan pengisian rohani melalui sesi-sesi tazkirah yang diadakan selepas waktu solat bagi sebagai pemantapan jati diri para peserta.
Upacara penutup perkhemahan ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua ISMA Johor, Haji Mohd Tahir Hamdan serta Pengerusi JKKK Kampung Sri Gunung Pulai, En. Roskalana Wagiman.
Turut hadir semasa majlis penutup perkhemahan ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kg Sri Gunung Pulai, ahli JKKK serta para penduduk setempat.
Acara penyampaian hadiah dan cenderahati telah disempurnakan oleh Pengerusi JKKK dan diiringi oleh Hj Mohd Tahir dan juga Pengarah Program, Mohd ‘Izzul Hafizuddin Mohd Solehuddin.
Sumber: Blog ISMA Johor




