Pelajar Malaysia dan Brunei sertai SOS di Cardiff
CARDIFF – Seramai 80 orang pelajar Malaysia dan Brunei telah menyertai Roadshow Palestin (RSP): Searching For Solahuddin (SOS) di Cardiff dengan misi menyelusuri ketokohan Salahuddin serta mengumpul dana untuk Palestin.
Bertempat di Dar-ul Isra’, kehadiran para pelajar dari dua negara ini membuktikan bahawa isu Palestin merupakan isu yang mampu untuk menyatupadukan manusia walaupun berbeza latar belakang dan budaya.
SOS kali ini turut menyaksikan kehadiran wakil dari Cardiff Keluarga serta Cardiff Nusantara Network (CNN).
Dr. Zainurrashid selaku penceramah jemputan telah menyampaikan dua ceramah yang bertajuk “Palestin dari Perspektif Sejarah, al Quran dan Hadith” dan “Kebangkitan Palestin – Merintis Generasi Solahuddin” yang telah membawa peserta mengimbau kembali rahsia perjuangan umat terdahulu dan aplikasinya pada masa kini.
Program disambung dengan slot “Pengalaman Misi Kemanusiaan” yang telah memberikan gambaran kepada para peserta mengenai dugaan dan ujian yang perlu dihadapi dalam usaha membina generasi Salahuddin.
Sesi soal jawab mengiringi setiap slot dan rata-rata peserta berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Dr. Zainurrashid.
Pada sebelah petangnya, program diteruskan dengan aktiviti Futsal Amal “Untukmu Palestin” yang telah berjaya menarik minat 6 pasukan di mana setiap pemain dikenakan bayaran sebanyak 5 pound untuk disumbangkan kepada Palestin bersempena dengan kempen ’5 untuk Palestin’.
Kejohanan Futsal pada petang ini yang bertemakan bersukan sambil beramal turut disertai oleh Dr. Zainurrashid sendiri.
Johan telah dirangkul oleh pasukan Caerdydd, manakala naib johan dimenangi oleh pasukan Cardiff Keluarga.
Secara keseluruhannya, lokaliti Cardiff telah berjaya mengutip dana sebanyak 740 pound sepanjang kempen ’5 untuk Palestin’ dan Futsal Amal.
Menurut saudara Fadhil selaku pengarah program, “program seumpama ini perlu diadakan lagi kerana selain memberi kesedaran kepada peserta, ianya mampu melatih kepimpinan serta kerjasama pelbagai organisasi pada peringkat pelajar sebelum beralih ke medan amal yang sebenar ketika bekerja”.
Sumber: Laman Web ISMA Eropah





