Mahrojan NAZIM peringkat Negeri Kelantan meriah
KOTA BHARU, 15 April – Biro Wanita ISMA Kelantan melalui Nadi Al-Azim (NAZIM) telah menganjurkan pertandingan Mahrojan NAZIM peringkat negeri Kelantan bertempat di Tadika Mawaddah, Wakaf Bharu.
Program ini yang merupakan acara tahunan diadakan bagi mencungkil bakat ahli-ahli NAZIM cawangan Kelantan selain bertujuan untuk memilih wakil peserta dari Negeri Kelantan untuk menyertai Mahrojan NAZIM peringkat kebangsaan yang bakal diadakan pada bulan Jun.
Program bermula pada pukul 9.30 pagi dengan ucapan aluan pengerusi majlis, bacaan Al-Quran oleh adik Mannan b. Mohd Sidek dan diteruskan dengan upacara perasmian yang telah disempurnakan oleh Ketua Wanita ISMA Kelantan, Ustazah Wan Azilah Wan Abdullah.
Dalam ucapannya, Ustazah Wan Azilah menekankan bahawa anak-anak ini merupakan aset masa depan ummah.
Oleh itu, program sebegini bukan sahaja mampu mencungkil bakat mereka, malah melatih anak-anak ini untuk tampil di tengah-tengah masyarakat dan menjadi role model kepada mereka di luar sana.
Antara acara yang telah dipertandingkan adalah pertandingan bercerita, hafazan, nasyid, pidato dan azan.
Mahrojan pada kali ini menyaksikan pertembungan antara dua penjuru iaitu persaingan antara daerah Kota Bharu dan Pasir Puteh yang telah membariskan seramai 50 orang peserta bagi semua acara yang dipertandingkan.
Juara bagi pertandingan nasyid telah disandang oleh wakil dari daerah Kota Bharu, manakala pertandingan hafazan bagi tahap satu telah berjaya dimenangi oleh adik Mannan mohd Sidek, 8, dan bagi tahap dua pula telah berjaya dimenangi oleh adik Haniff Mohd Sidek, 11.
Sumber: Laman Web ISMA Kelantan


