|

Ia semakin hampir

Melihat keputusan Pilihanraya Sarawak membuatkan ramai penganalisis menyimpulkan bahawa orang Cina kini tidak lagi akan mengundi MCA apatah lagi Gerakan tetapi sebaliknya DAP. Trend ini dijangka akan berterusan pada PRU13. Ini membuatkan Presiden MCA, Chua Soi Lek mengugut bahawa jika MCA gagal mendapat undi orang Cina pada PRU13 maka MCA tidak akan meminta apa-apa jawatan dalam kerajaan. Bererti bahawa pimpinan kerajaan akan diterajui oleh hanya orang Melayu dan India. Ini sudah pasti merisaukan pengundi-pengundi Cina kerana mereka tidak akan ada lagi wakil dalam kerajaan. Ini mungkin membuatkan mereka berpaling tadah dan mengundi kembali MCA kerana bimbang kepentingan mereka tidak terbela lagi apabila tidak ada lagi wakil dalam kabinet. Suasana ini sangat tidak disenangi oleh DAP.

Kalau diukur daripada majoriti pengundi di kawasan-kawasan parlimen, daripada 222 kerusi cuma 40 kerusi sahaja yang undinya adalah majoriti Cina (>65%) dan 30++ adalah “mixed”. Di Selangor, daripada 5 juta penduduk hanya 29% adalah Cina (atau 1.5 juta). Untuk jumlah keseluruhan penduduk negara, komposisi orang Cina dijangka menurun dari 45% pada tahun 1957  kepada 18.6% pada tahun 2035.  Di Pulau Pinang sendiri dilaporkan orang Cina bukan lagi majoriti. Ertinya dominasi Melayu semakin besar dan kuat. Logik akalnya, tak mungkin orang Cina akan berjaya memerintah negara. Namun realiti berlaku sebaliknya disebabkan orang Melayu berpecah.

Berita Utusan

DAP sangat sedar perkara ini. Sebab itu apabila akhbar Utusan mengeluarkan berita tentang agenda Kristian untuk menjadikan agama mereka sebagai agama rasmi negara, kepimpinan DAP rasa tidak senang duduk. Apa tidaknya, orang Melayu memang sangat sensitif tentang agama  dan mudah saja untuk orang Melayu bersatu jika berita ini benar. Apa jadi jika Melayu bersatu? Ini yang DAP sangat gusar. Mereka akan berusaha habis-habisan untuk memastikan isu ini dipadamkan secepat mungkin.

PAS sudah pasti merasa tertekan kerana umat Islam memerhatikan tindakan dan sikap mereka dalam perkara ini. Apa-apa kenyataan pimpinan PAS akan menentukan nasib mereka pada PRU13 nanti. Sehingga hari ini belum ada kenyataan dari pimpinan PAS terhadap perjumpaan kumpulan Kristian di Pulau Pinang itu yang turut dihadiri oleh YB dari DAP. UMNO pula akan mengeksploitasikan isu ini habis-habisan kerana semua media utama dikuasai oleh mereka.

Sikap DAP Sarawak

Sikap pimpinan DAP Sarawak yang menyenaraikan kabinet bayangan tanpa berbincang dengan PAS dan PKR membuatkan ramai orang Melayu merasa tergugat. Pesoalan besar yang timbul, apakah sebenarnya agenda DAP?

Kenyataan Dr Juanda, Mufti Perlis

Gelaran yang Dr Juanda berikan kepada sesiapa yang menolak perpaduan orang Melayu Islam sebagai pengkhianat benar-benar telah memberi kesan kepada masyarakat Melayu. Dengan kedudukan beliau sebagai Mufti sudah pasti pengaruhnya amat besar.

Gerak kerja PEMBELA tentang isu Bible

Walaupun PEMBELA menerima pelbagai penentangan dari pihak bukan Islam, namun jelas sekali gerak kerja mereka mula mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Ini sekali lagi menjadi faktor pendesak kepada kesatuan orang Melayu.

Semua peristiwa di atas hanya membayangkan bahawa cahaya untuk mencapai kesepakatan antara orang-orang Melayu sudah semakin hampir. Apatah lagi bila Pemuda PAS sudah mengeluarkan kenyataan tentang perpaduan.

Ya, ia semakin hampir.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Aminuddin Yahaya,
Timbalan Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog:
Suara Dari Gunung

23 Komen untuk entri “Ia semakin hampir”

  1. Tanpa Nama says:

    Saya rasa penulisan ini terlalu optimis untuk mengatakan perpaduan Melayu semakin hampir. Melihat kepada senario politik semasa dan reaksi masyarakat dan juga para blogger, saya rasa ianya tidak langsung mendekatkan hatta seinci pun. Wallahu’alam.

  2. tak mau says:

    syeikh! “saudara jauh” enta di mesir sudah berkerjasama dengan bukan Islam. belajar dengan PAS barangkali. “enta dan keluarga enta” bila lagi?

    http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28597

  3. Aiman Rosli says:

    Posisi IM di Mesir dalam lanskap politik di Mesir berbeza dengan PAS di Malaysia.

    Adakah posisi PAS dalam PR sedominan IM dalam politik di Mesir atau khususnya dlm persepakatan tersebut (Parti Kebebasan & Keadilan)? Ana tak rasa IM akan melaksanakan tahaluf dalam keadaan kuasanya tidak dominan atau terumbang ambing.

  4. tak mau says:

    betullah tu. dalam PR, PAS sangat tak dominan! lagi-lagi orang bukan Islam di Malaysia sekarang ni bersepakat nak jatuhkan agama Islam. kalau di Mesir tak begitu. mereka baik-baik saja.

    jahat betullah orang bukan Islam di Malaysia. kepalanya si DAP. boleh pulak PAS buat kerjasama dengan puak-puak tu. kenapalah PAS tak berkerjasama dengan UMNO. walaupun depa banyak perabih duit rakyat, UMNO kan Islam. DAP walaupun jujur berkerja tapi depa nak jatuhkan Islam. mana boleh! boleh pulak PAS pilih DAP yang kapir tahap harbi tu. kenapalah tak berkerjasama dengan UMNO. lepas tu ada can lah kena tendang macam 1976.

    lagi satu, Malaysia ni untuk orang Melayu saja so tak perlu lah PAS nak terhegeh-hegeh dekat DAP untuk dapat sokongan cina dan India. Malaysia untuk Melayu, kalau nak berpolitik di Malaysia kena kumpul sokongan Melayu sahajalah kan. tak perlu Cina India ni. lagipun depa nak jatuhkan Islam. mana boleh!

    ish ish ish!

    ok. serius

    syeikh. enta kena faham. sokongan rakyat terhadap PAS adalah disebabkan imej bersih PAS sepanjang memimpin. sokongan rakyat terhadap PAS adalah disebabkan PAS merupakan ALTERNATIF kepada UMNO yang banyak sangat ‘kudis’. kalau PAS bersama dengan UMNO bermakna PAS bercampur dengan ‘kudis, nanah dan parasit’. nanti rakyat yang letakkan harapan melihat perubahan akan jadi kecewa. PAS perlu memilih sekutu yang mempunyai matlamat yang sama dan berimej bersih seperti mereka. nak kerjasama dengan UMNO? boleh! UMNO ubah perangai dulu.

    dalam PR, komponennya perlu dinilai berdasarkan asas penubuhan mereka. PAS jadi wakil untuk orang Melayu dengan berimejkan Islam. DAP wakil Cina dan India. PKR pula mengumpul individu-individu yang pernah menyokong BN dan akhirnya keluar kerana tidak berpuas hati dengan kekorupan dalam BN. semua parti ada peranan masing-masing. tak perlu bincang siapa dominan. bincangkan peranan komponen PKR dalam mengekalkan kerjasama ini. kalau PAS keluar, hilang komponen Melayu dalam PR. Kalau DAP keluar, hilang komponen Cina dan India. sama juga dengan PKR. semua ada peranan masing-masing.

    Malaysia negara majmuk, rakyat berbilang kaum. perpaduan sesama bangsa Melayu sahaja tidak cukup untuk mengekalkan keharmonian di Malaysia. nak bagi kenyang orang melayu bolehlah. kenapa tidak memilih perpaduan antara semua kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India berasaskan titik persamaan iaitu KEADILAN?

    isu politik Malaysia sebelum PRU 12 berkisar tentang ketelusan dalam pentadbiran. isu hak rakyat dinafikan seperti royalti Kelantan. tetapi lepas PRU 12, BN kalah banyak kerusi kepada PR dan mereka cipta isu baru iaitu ketuanan Melayu, bukan setakat itu sahaja, Islam pun dibabitkan. semuanya untuk serang DAP. kenapa pilih DAP? sebab nak serang PAS tak boleh sebab PAS bersih. PAS ni hulur 100 juta pun tak lepas. Allah dah beli mereka dengan syurga! PKR pula tiada isu yang kuat dan relevan. setakat buat video seks anwar bolehlah. DAP sahaja target BN yang vulnerable sebab eksklusif untuk orang bukan Melayu dan tiada kaitan dengan agama Islam. kena pulak orang Melayu ni sensitif dengan isu bangsa dan agama. memang jadilah! ini semua diversion je syeikh! takkanlah ISMA yang bijak ni pun boleh kena tipu dengan BN?

    bukan semua non-muslim jahat macam enta sangka syeikh. janganlah fobia sangat. janganlah su’uzhon sangat! inilah akibatnya tak pernah berkawan dengan lain bangsa. cuba listkan berapa ramai kawan Cina dan India yang enta ada syeikh?

    nasihat ana, berhentilah melanggar kapal-kapal gerakan Islam. lagi-lagi yang nak dilanggar kapal besar. kalau bawa ‘speedboat’ jangan langgar ‘battleship’. ‘battleship’ nak tembak pun malas, buat habis peluru je syeikh!

  5. Aiman Rosli says:

    ISMA ni ngo kecil shj. Sekadar nak peringat atau nasihatkan apa yg dirasakan perlu. Tak ada sekalipun niat untuk langgar PAS. Terpulang untuk terima atau tidak.

  6. hamba allah says:

    Bukankah yg buat perangai 4-5 org pimpinan UMNO jer yg diatas, rakyat marhain umno yg lain jadi pak turut shj kerana takut dgn bayang2 raksasa di atas? Jadi i nasihatkan yg marhain ni PAS jgn hukum mcm yg di atas. Tulung jangan dekat dgn mereka semata2 utk dapat undi shj, tapi harap dpt programkan mereka dgn satu bentuk pengarahan (taujihat) pemikiran yg menjurus untuk ISLAM disetiap pelusuk di bumi malaysia ini, spt yg IM telah lakukan dimesir ( harap dpt search sendiri apa yg telah dilakukan oleh IM sebagai contoh dan teladan).
    Jika saudara ‘tak mau’ masih ingin terus dgn itu, maka tawakkal shj dgn Allah, nanti sama2 kita lihat natijahnya, tak cepat kelihatan, mungkin lambat.. tapi yang setiap perkara kecuali Allah pasti menemui ajal..

  7. hamba allah says:

    tambahan lagi: setuju atau tidak i katakan bhw PAS mungkin boleh kukuh dan hidup dinegeri khususnya di Kelantan tapi apa pula nasib umat islam dinegeri2 lain spt johor, selangor, w.p dll. Di negeri2 spt ini ramai marhain UMno yg takut kpd bayang2 gergasi umNO yg ada di atas sedang berkuasa. Setuju atau tidak? bahawa dgn latarbelakang , sejarah dan pendekatan PAS dengan UMNO sebelum ini maka imej PAS kurang berkemampuan utk menserasikan letak duduknya di negeri2 seperti ini hanya semata2 dgn dokongan undi melayu kelas bawahan (marhaian umno yg takut dgn bayang2 gergasi mereka)

  8. hamba allah says:

    lagi tambahan: setuju atau tidak, jika UMNO yg buat perangai adalah 4-5 org pimpinan atasan mrk dan mrhain umno terus ditakuti dgn bayang2 mereka maka i ingin katakan bahawa PAS baik dgn 2-3 kerat pimpinan DAP di atas tapi adakah mereka mampu untuk menepis segala tuntutan masyarakat/rakyat DAP yg bakal membanjiri pej.PR. Apa persediaan PAS tentang hal ini, yg telah berjaya dlm PRU sblm ini dlm keadaan yg tidak diduga? adakah melayu PAS yg marhain pula selepas ini ditakuti dgn bayang2 gergasi baru?

  9. tak mau says:

    maaflah syeikh Aiman kalau hujah ana macam kasaq sangat. bukan apa, ana tak bimbang dengan DAP. DAP perlukan PAS untuk terus mendapat sokongan dan PAS pula parti yang berprinsip dan komited menegakkan syiar Islam. banyak dah tindakan PAS yang tak dipersetujui DAP tapi PAS tetap teruskan. semuanya sebab PAS faham apa maksud tahaluf siasi. bukan setakat kepada rakyat sahaja malah pimpinan DAP pun sudah mula terkesan dengan PAS ni. rujuk kenyataan Karpal Singh yang menyatakan PR perlu mencontohi PAS dalam berprinsip. kalau pun DAP mengancam Islam, mesti pemimpin PAS akan perasan. dengan pencapaian PAS yang sangat komited dengan prinsip perjuangan Islam, pimpinan pasti akan ambil tindakan yang sepatutnya.

    hamba Allah sudah membincangkan satu skop lain. apa yang ana bincangkan adalah daripada skop peranan PAS dalam PR atau posisi PAS dalam PR. bukan kerja-kerja yang dijalankan oleh PAS untuk mengubah masyarakat supaya menjurus ke arah Islam. kalau nak bincang bab ni kena buka meja kopi. panjang! dan memang kerja PAS pun selama ini mendekati masyarakat supaya menjurus kepada Islam. (harap dpt search sendiri apa yg telah dilakukan oleh PAS sebagai contoh dan teladan). ana tak nafikan apa yang hamba Allah katakan itu betul. tetapi PAS memang dah laksanakan pun semua perkara itu! mesti hamba Allah akan persoalkan kenapa tak nampak pun gerak kerja itu? perlu difahami media massa di Malaysia ini terlalu menumpukan kepada 3 aspek. hiburan, sukan dan isu hangat politik. boleh buat apa? itu saja yang boleh buat laris surat khabar. kalau masukkan berita PAS buat sekolah agama nanti tak laku pula. ana syorkan hamba Allah buat research dari laman web rasmi PAS ataupun pendokong PAS untuk lihat secara lebih jelas gerak kerja kemasyarakatan PAS.

    4-5 pimpinan UMNO buat perangai? maaflah, tak boleh setuju dengan statement ini. lebih daripada itu. sokongan rakyat terhadap PAS secara kasar terbahagi kepada dua. pertama mereka menyokong atas sebab tidak berpuas hati dengan UMNO. kedua mereka faham bahawa PAS jujur dalam memperjuangkan Islam melalui jalan politik. golongan yang pertama tak perlu di’generate’ kerana secara automatik mereka akan menyokong PAS. tetapi golongan kedua perlukan kepada usaha oleh PAS. selagi mana rakyat belum terdidik supaya bijak membuat penilaian dan tidak hanya menjadi pak turut ataupun takut dengan orang yang lebih di atas, selagi itulah penyokong golongan kedua ini tidak ramai dan selagi itulah PAS akan terus berusaha untuk mendidik rakyat.

    satu konsep yang perlu kita faham apabila membentuk pakatan. PAS, DAP dan PKR. apabila PKR memegang kepimpinan sesuatu negeri, tidak bermakna PAS dan DAP diketepikan. masih ada influence parti komponen lain dalam pentadbiran. begitu juga dengan negeri-negari yang ditadbir PAS dan DAP. tak bolehlah nak nafikan hak komponen lain. kalau tak bukan nama pakatan lah. lebih holistik jika PR dipandang sebagai pakatan, bukan hanya memandang PAS, DAP atau PKR.

    walaubagaimanapun, dalam PR konsep tahaluf siasi diaplikasikan oleh PAS dengan sangat tegas. prinsip-prinsip perjuangan Islam takkan mudah-mudah digadaikan. buktinya banyak tindakan PAS yang tidak dipersetujui oleh DAP namun tetap diteruskan. apatah lagi untuk menolak tuntutan yang bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam yang ‘bakal’ dikeluarkan oleh DAP. itu pun kalau betul-betul akan ada lah. ini lagi satu! makan sangat umpan BN yang DAP ni jahat.

  10. Aiman Rosli says:

    ISMA suarakan pendapat berdasarkan pemerhatian terhadap situasi kedaulatan Islam yg amat merunsingkan memandangkan banyak berlaku peristiwa2 yg akan menjadi titik pemula kepada keruntuhan kedaulatan Islam di Malaysia.

    Setakat pembacaan ana, isu arak di Selangor masih belum selesai. Isu pengharaman judi di Kelantan pun dipertikai Karpal Singh hatta selepas kajian semula. Boleh sebut apa isu yg DAP ‘hormat’ pendirian PAS?

    Apapun, ana tak rasa kecik hati dsb. Bg ana dalam perbincangan dakwah tak perlu ada rasa kecik hati. Pejuang-pejuang gerakan Islam perlu berlapang dada, tidak angkuh dan mudah untuk menerima nasihat walaupun tidak terima bulat-bulat. Bagi ana kalaulah kita dilontarkan dgn nasihat walaupun berbentuk kritikan-kritikan yg pedas, kita mesti terbuka untuk melihat sudut yg positif yg boleh digunapakai.

    Kalau tindakan yg berbentuk hasad dengki mungkin kita boleh lihat dlm bentuk perbuatan sabotaj, menghalang gerak kerja dakwah gerakan Islam yang lain dsb. Kesimpulannya, bukan semua yg tidak bersama kita adalah musuh kita. Bukan semua yg bersama kita juga adalah kawan kita.

    Renung-renungkan…

  11. pelik2yim says:

    1.mentaliti org biasa kalau kita tegur belah ni,org ckp kita sebelah sana..kita tegur pas org kate kita sokong umno.skrg ramai org taw menilai.jgn duk judge org cpt2 yeee.
    2. kene faham skop pandangan isma adalah dari skop melayu islam.tu sbb isma berpandangan perpaduan antara melayu islam sgt penting untuk kukuhkan islam di malaysia.kalau ade pihak xleh trima pandangan ini,boleh trus dengan pandangan mereka..tp jgn lah cepat melatah..bincanglah dengan skop menyeluruh. nk kate isma duk kritik je tanpa nas quran, isma pn bawa nas quran dan dalil..isma juga ada majlis ulama sendiri

    3.Jika pas rasakan ianya terbaik, mungkin itu dari pandangan skop politik.Pas juga ada dalil quran dan hadith..dan juga dah dibincang ulama..

    4.Namun apa yang perlu diberi perhatian sekuat mana dalil yang diberikan.sekiranya pas tetap mengatakan sudah betul, teruskan..sbb isma akan tetap menyokong parti yang haq dalam pilihanraya…Jaga adat beebincang isu dengan hujah dan dalil.jgn duk sebut slah cmtu jeee wahai org yg asek menghukum.

    5. terimalah bahawa bkn pas shj bjuang untuk islam..islam itu untuk semua.semua boleh perjuangkan islam..bukan islam= pas.bukankah begitu..jadi untuk memimpin msia, kne la hargai kepelbagaian jemaah lain bawa islam.jgn duk anggap diri tu besaq sgt..igt..spttnye pas kne jaga ngo2 islam ini dan bantu mereka,sbb ngo2 islam ni lah undi free untuk pas..berstrategi la sket…

  12. tak mau says:

    betul tu syeikh aiman. tapi apa yang ana tekankan dalam perbincangan ini ialah PAS berprinsip. kan ana dah ulang banyak kali. DAP memang banyak tak bersetuju dengan PAS. tetapi atas dasar prinsip dan pemahaman tahaluf siasi, PAS tetap terus dengan tindakan mereka. perjuangan ini bukan mudah syeikh. bukannya hari ini dapat negara esok boleh buat perubahan macam-macam. lagi-lagi nak ubah mentaliti bukan Islam terhadap Islam yang selama ini dirosakkan oleh korupsi dan ketidakadilan orang Islam sendiri(UMNO). usaha mendidik dan mengesani orang bukan Islam ini dah makin mantap. Karpal Singh mengakui kredibiliti politician PAS, Lim Kit Siang kata dia nak tiru Umar Abdul Aziz. ramai dah orang bukan Islam join kelab penyokong PAS dari situ mereka belajar keindahan Islam dan sudah ada pun yang menganut agama Islam. usahlah bersama-sama dengan UMNO menganggu usaha ini dengan isu Melayu terancam. kita bukannya nak bawa sangat PAS tetapi nak tunjukkan keindahan Islam.

    inilah namanya dakwah melalui medium politik syeikh. nak bincang isu arak Selangor dan agama Islam terancam ini semuanya isu mainan UMNO nak kumpul balik undi Melayu lepas depa kalah teruk dalam PRU 12. dulu waktu depa memerintah tak timbul pun isu-isu ini. padahal missionary Kristian bersepah di Sabah dan Sarawak mengkristiankan orang Islam. kilang arak terbesar di Shah Alam siapa luluskan? PKR? PAS? DAP? lepas tu bising-bising pembangkang sokong kilang arak.

    agama Islam terancam sebab melayu tak bersatu? syeikh! yang paling utama untuk gahkan kembali Islam bukan perpaduan, tetapi pegangan kita dengan syariat Islam. kalau pemimpin korup bersepah-sepah, Malaysia Youth Programme pun bercampur lelaki perempuan tak macam SPIES selangor dan program-program ISMA, video lucah dan ‘gutter politics’ jadi tontonan. enta rasa mampu UMNO nak kembalikan kemegahan Islam? untuk kembalikan kemegahan dan kedaulatan Islam bukan dengan Melayu bersatu tetapi izzah dengan Islam itu yang nombor satu!

    pemimpin PAS tak menentang penyatuan UMNO-PAS. tetapi untuk bersatu dengan UMNO sekarang yang masih tak berubah. mustahil!

    pelik2yim. ana tak meletakkan sesiapa di mana-mana belah. ana cuma kata jangan mudah tertipu dengan mainan politik UMNO. anda bijak kan? dalam hujah ana tak pernah sebut pun Islam=PAS ataupun statement yang bermaksud begitu. ana cuma keluarkan usaha dan tindakan PAS sahaja. cuba baca balik betul-betul semua komen ana. tiada statement yang menafikan peranan mana-mana jemaah dalam membangunkan Islam. lagi sekali ana ulang, ana minta supaya JANGAN MUDAH TERTIPU DENGAN MAINAN POLITIK UMNO. itu sahaja.

    PAS nak jaga NGO Islam macam mana cheq oiiii! kalau NGO itu tak sama prinsip dengan PAS. PAS nak bawa ISLAM bukan MELAYU. memanglah NGO tu nak majukan ISLAM macam PAS. tetapi uslub NGO tu berbeza. NGO tu nak bangunkan Islam dengan menggunakan bangsa MELAYU. tetapi PAS kata tak cukup sekadar MELAYU sahaja beragama ISLAM, kita nak SEMUA RAKYAT MALAYSIA TAK KIRA APA BANGSA beragama ISLAM. kalaupun ada yang tak beragama ISLAM cukuplah mereka selesa dengan KEPIMPINAN BERASASKAN SYARIAT ISLAM dan selesa dengan IMEJ AGAMA ISLAM. apa boleh buat dengan NGO tu? biaq pi la depa nak buat apa pun. kalau yang ceghedik, dalam PRU depa pangkahlah PR. kalau yang tak berapa nak ceghedik tu undilah BN.

  13. Tanpa Nama says:

    Sebut pasal DAP saja, dah lupa ke dengan MCA? Antara DAP dan MCA saya rasa anda boleh tahu yang mana lebih anti-Islam.

  14. saya says:

    DAP dlm PR=xde sape berani jentik..
    MCA dlm BN =x mampu menyuarakan hak org2 cina
    PRU13=org cina bersatu pangkah DAP=PAS dan PKR tenggelam dgn DAP

  15. Nazif says:

    Sheikh tak mau,

    Anda kata PAS berprinsip? Kalau betul PAS berprinsip, kenapa mereka perlu bekerjasama dengan DAP dan PKR? Sedangkan mereka itu memang nampak jelas tiada perancangan untuk menegakkan negara Islam. Kalau orang macam Karpal tu boleh naik jadi kepimpinan DAP, agak-agak bagaimana pemikiran orang-orang dalam DAP yang naikkan dia? PAS sepatutnya berdiri dengan sendiri jelah kalau betul PAS berprinsip untuk menegakkan negara Islam. Tapi nampak sangat objektif PAS yang lebih utama ialah untuk menjatuhkan UMNO, maka dia sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang tak setuju dengan BN.

    Bagi saya, kalau nak rankingkan parti yang paling Islamik, lebih kurang macam ni: PAS > UMNO > PKR > DAP/MCA/MIC. Kan senang kalau PAS dan UMNO berganding bahu? Berganding bahu dulu, pastikan kekuatan Islam di Malaysia terjamin, lepas tu berdakwahlah kepada UMNO. Yang PAS nak ‘testing’ air sama ada buaya wujud ataupun tak dengan DAP/PKR tu kenapa?

    Ingatlah sheikh, walaupun ada pemimpin UMNO yang tidak adil, namun mereka masih lagi seakidah dengan kita. Itu sepatutnya lebih bermakna kepada kita orang Islam daripada bekerjasama dengan PKR/DAP yang kebanyakkannya akidah pun tiada. Saya memang tinggal sejak kecil lagi dengan orang bukan Islam, namun itu tidak membutakan saya daripada hakikat bahawa mereka tidak mempunyai objektif kehidupan yang sama dengan saya. At least dengan orang UMNO saya boleh duduk semeja berbincang tentang fiqh, akhlah, dan aqidah. Kalau dengan orang bukan Islam, saya kena yakinkan mereka tentang Islam dahulu.

    Ingat, Allah SWT berfirman: “Janganlah orang-orang mukmin menjadikan orang-orang kafir sebagai wali selain orang-orang mukmin. Siapa saja yang berbuat demikian, maka terlepaslah dari pertolongan Allah” (Ali Imran 28)

    Dan juga:

    “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali bagimu; masing-masing menjadi wali bagi kalanganya sendiri. Siapa saja di antara kamu yang menjadikan mereka sebagai wali, maka orang tersebut telah masuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” (Al Maidah 51)

    Apa yang saya nampak sekarang, PAS mengambil PKR dan DAP sebagai wali kerana meminta tolong dan bergantung kepada mereka untuk menjatuhkan UMNO. UMNO pula mengambil MCA dan MIC sebagai wali untuk mengekalkan kuasa. Kenapa UMNO dan PAS tidak bekerjasama supaya memenuhi tuntutan ayat-ayat di atas?

    Wallahua’lam

  16. Nazif says:

    By the way, sheikh takmau, suruhlah PAS islamkan dulu orang dalam PKR dan DAP tu. Lepas tu tarbiyyah sehingga jadi orang Islam yang mantap, lepas tu boleh cakap pasal menegakkan negara Islam. At least dengan UMNO, PAS hanya perlu tarbiyyah sahaja dan tak perlu islamkan. Kenapa nak bersusah-payah menambahkan kerja? Bapak mertua saya orang UMNO, tapi dari segi akhlaq (kata-kata dan sifat merendah diri) pada pendapat saya lebih cemerlang daripada Mat Sabu. So cuba jangan merendahkan orang Islam dalam UMNO lah. Mereka ada potensi untuk lebih baik daripada orang Islam dalam PAS, cuma memerlukan dakwah yang berhikmah daripada semua orang termasuk NGO-NGO dan PAS.

    Wallahua’lam

  17. ai says:

    simplistiknye berfikir untuk tarbiah UMNO~

    sangat simplistik pemikiran sebegitu.Maaf, tak dapat diterima.

  18. tak mau says:

    oh. saya terkelu, tak mampu menidakkan hujah-hujah syeikh nazim kita ni :

    http://pusattarbiyah.blogspot.com/2010/10/kertas-kerja-tarbiyah-3-majlis-nuqaba.html

    saranan saya, lihat kehidupan dari sudut REALITI. jangan sampai IDEALISME membutakan kita. politik ini strategi syeikh. perjanjian Hudaibiyyah pun seolah-olah merugikan umat Islam tetapi akhirnya membuka jalan kepada Fathul Makkah. belajarlah fiqh Muwazanat. kaji kembali sejarah tamadun Islam. bagaimana satu empayar Islam menjatuhkan empayar Islam yang lain. apa sebab di sebalik tindakan itu.

    Hosni Mubarak pun Islam, Zine El Abidine Ben Ali pun Islam, Muammar Gaddafi pun Islam dan MUSTAFA KAMAL ATATURK pun Islam syeikh!

  19. Nazif says:

    Saudara Ai,

    Mungkin memang benar simplistik, tetapi possible kalau enta mahu berusaha. Rasulullah SAW dulu pun amat simplistik perancangannya – dakwah banyak-banyak di Mekah dan menghantar sahabat untuk berdakwah di tempat selain Mekah, sehingga tetiba dapat negara Islam di Madinah dalam masa 13 tahun. Tak berpolitik pun. Simplistik, tetapi berkesan. PAS (yang tak simplistik pemikirannya) dah berpolitik berpuluh tahun, tapi tak dapat negara Islam lagi. Takpelah, kami di ISMA nak buat cara simplistik Rasulullah SAW. Kalau orang yang zalim macam Umar RA dan Abu Sufyan (sebelum masuk Islam) tu pun boleh ditarbiyyah, takkanlah orang UMNO tak boleh ditarbiyyah? Jangan salahkan orang UMNO atas kelemahan entum dalam taktik dakwah. If there’s a will, there is a way.

    Kepada takmau, ada perbezaan antara negara-negara yang enta sebut dengan Malaysia. Majoriti rakyat negara-negara tersebut adalah orang Islam, maka kerajaan yang jatuh memang confirm akan digantikan dengan kerajaan yang dipenuhi dengan orang Islam. Adakah jika UMNO jatuh, kerajaan baru akan dipenuhi dengan orang Islam? Adakah PAS akan mampu untuk memastikan pos-pos penting dalam kerajaan hanya dipegang oleh orang Islam? Adakah PAS akan dapat menegakkan negara Islam? Adakah dakwah Islam akan lebih mudah, atau adakah golongan murtad, syiah, dan kristian akan lebih berani untuk menjalankan agenda mereka kerana pada ketika itu, PAS memerlukan sokongan DAP dan PKR yang confirm liberal dan takmau negara Islam?

    Enta nak cakap pasal tahalluf, memang ade banyak contoh tahalluf dalam sejarah Islam. Tetapi tahalluf yang bagaimanakah yang dibolehkan dalam Islam? Adakah rukun-rukun asas dalam Islam tertegak dengan tahalluf itu? Ana tertarik dengan statement dalam artikel yang enta kasi tu: “. Ahli PAS perlu memasukkan dakwah secara lembut dan berterusan kepada golongan ini agar mereka menerima dakwah PAS.” Aik, kenapa pulak tak boleh dakwah secara lembut dan berterusan kepada UMNO?

    Again, ana lihat dari segi realiti. Rasulullah SAW kan realiti, dan dia tak pernah berpolitik sehinggalah tertubuhnya negara Islam Madinah. Baginda hanya berdakwah jer sebelum tu. Susah sangat ke nak terima hujah ana ni? Enta sebut tentang empayar-empayar Islam yang saling jatuh-menjatuhkan antara satu-sama lain, kita ni negara Islam pun takde. Enta nak bandingkan kita dengan empayar Islam? Kita sekarang ni zaman Mekah jahiliyyah, bukan Umaiyah, Abbasiyyah, atau Uthmaniyyah. Gunalah strategi di Mekah.

    Jangan sampai kekalutan politik PAS-UMNO mengaburi enta daripada sunnah perjuangan Rasulullah SAW. Enta rasa politik akan menegakkan negara Islam? Ana rasa dakwahlah yang akan menegakkan negara Islam. Rasulullah SAW berpolitik atau berdakwah untuk mendapatkan kerajaan Islam Madinah? Ana serah kepada enta untuk jawab.

    Wallahua’lam

  20. Iqbal Hakim Abdul Razak says:

    mohon pencerahan bro tak mau, atau sesiapa yang faham tentang perkara ni.

    . Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka

    Perihal wala’ adalah perkara tunjang yang menjustifikasikan dan mengesahkan amal Islami kita dalam PAS. Lantaran itu piawaian wala’ telah ditetapkan oleh Allah SWT serta oleh Rasulullah.

    Firman Allah s.w.t., maksudnya:

    “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan ( larangan ) yang demikian maka tiadalah ia ( mendapat perlindungan ) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka ( yang kafir itu ). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat – ingat terhadap kekuasaan diriNya ( menyeksa kamu ). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.”

    Surah Ali ‘Imran: 28

    Memilih calon bukan PAS yang berjuang menentang kezaliman dan kemungkaran lebih besar adalah suatu yang WAJIB demi menyekat kezaliman walaupun calon tersebut bukan Islam atau muslim yang tidak berpegang dengan Islam secara menyeluruh.

    Berwala’ maknanya menjadikan seseorang sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kerjasama adalah untuk kemaslahatan dan kebaikan Islam umumnya, bukan meredhai mereka sebagai pemimpin. Hal ini kerana Kepimpinan Islam hanya sah sekiranya menuruti seluruh sistem Islam dalam pentadbiran mahupun kepimpinan.

    ayat Quran di atas dengan jelas menyatakan

    “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.”

    Sedangkan dalam perenggan berikutnya dikatakan:

    Memilih calon bukan PAS yang berjuang menentang kezaliman dan kemungkaran lebih besar adalah suatu yang WAJIB demi menyekat kezaliman WALAUPUN CALON TERSEBUT BUKAN ISLAM atau muslim yang tidak berpegang dengan Islam secara menyeluruh.

    Ana nampak kontradiksi di situ. Ya, walaupun orang itu bukan Islam tapi mereka menentang kezaliman dan kemungkaran yang lebih besar. Namun, dalam ayat Quran yang dipetik, x pula ada bayangan kompromi untuk mereka yang bukan Islam?

    Mungkin ada perkara yang perlu diperhalusi di sini?

  21. tak mau says:

    ana sebenarnya tak berapa nak syok jawab spekulasi ‘adakah-adakah’ ni. jadi biarkanlah. boleh rujuk komen ana diatas tentang peranan PAS dalam PR untuk menjawab persoalan tentang perhubungan PAS-DAP-PKR.

    statement dalam artikel tu merujuk kepada pihak yang kita bertahaluf. bukan pihak yang kita lawan. UMNO ni sampai tahap kronik syeikh. kalau dulu Saidina Abu Bakar keluar berperang dengan orang Islam yang tak mahu membayar zakat. kenapalah tak berdakwah dahulu? maybe sebab dah kronik sangat kot sampai Saidina Abu Bakar pun letih nak melayan. bunuh je lah.

    komentar ana tentang kerja-kerja dakwah dalam PAS boleh dirujuk dalam komen-komen sebelum ini. nak tahu lagi kena banyak buka laman web pendokong-pendokong PAS. susahlah kalau asyik baca web puak-puak kita saja kan?

    tentang komen syeikh nazif berkenaan penglibatan dalam politik, zaman Mekah Jahiliyyah(?), sejarah empayar-empayar Islam. ana syorkan belajar dahulu fiqh siyasi dan fiqh muwazanat. kaji fatawa ulama’ kontemporari tentang isu penglibtan orang Islam dalam politik. sekian

    bila pula ana keluarkan statement bahawa politik SAHAJA mampu menegakkan negara Islam?

    hai la. awat syeikh nazif kita ni tak baca dulu komen-komen ana. banyak betul persoalan yang berulang-ulang. redundant jadinya.

  22. tak mau says:

    syeikh Iqbal Hakim Abdul Razak, ini sambungan seterusnya. ada dalam kertas kerja itu.

    Muwada’ah

    Di sana terdapat satu persefahaman yang diadakan secara sementara waktu ( bertempoh ) dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah ( gencatan senjata ).

    Disebut dalam “Syarah Muhazzab” ( karangan al Imam al Nawawi ), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong untuk memerangi golongan lain.

    Akan tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya. Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah ( di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah ). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.

    Hari ini PAS boleh bekerjasama dengan pihak lain selama mana mereka bersedia secara jujur ingin bersama seperti dalam isu Palestin, isu rasuah dan sebagainya. Akan tetapi muwada’ah ini hanya sah dalam isu kerjasama itu sahaja dan bukannya selama-lamanya selagimana mereka masih memegang ideologi sekular atau menetang Islam.

    ana harap kita yang membawa imej Islam tidak terlalu prejudis dengan bukan muslim. kita semua setuju peranan kita selaku dai’e bukan sahaja mengislah masyarakat Islam, akan tetapi berdakwah kepada masyarakat bukan Islam supaya menerima agama Islam. kalaupun tidak mahu memeluk agama Islam, cukuplah mereka selesa dan tidak berpandangan serong terhadap kepimpinan orang Islam.

    dalam Piagam Madinah, Rasulullah tidak meminggirkan masyarakat bukan Islam. malah Rasulullah sendiri meletakkan kepercayaan kepada orang bukan Islam sewaktu hijrah baginda ke Madinah. penunjuk jalan baginda ialah Abdullah bin Uraiqith Al-Laitsy, seorang yang sewaktu peristiwa hijrah itu tidak beragama Islam. bagaimana ya Rasulullah boleh meletakkan kepercayaan kepada seorang bukan Islam di dalam peristiwa hijrah yang sangat genting? tidak mustahil Abdullah bin Uraiqith Al-Laitsy akan memaklumkan orang Quraisy di Makkah tentang rancangan Hijrah baginda. semuanya kerana Rasulullah yakin dengan keperibadian dan kejujuran seorang bukan Islam bernama Abdullah bin Uraiqith Al-Laitsy.

    begitu juga dengan PAS, PAS yakin dengan komitmen PKR dan DAP dalam memperjuangkan keadilan. oleh itu, PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. kenapa tidak UMNO? mereka beragama Islam? kerana prinsip perjuangan mereka tidak mencerminkan keadilan. walaupun mereka mencanangkan bahawa mereka parti yang adil, realitinya terlalu banyak kepincangan dan kezaliman yang mereka lakukan.

    nah! Rasulullah pun tidak terlalu rigid dengan orang bukan Islam, malah seolah-olah meletakkan nasib dan nyawa baginda di tangan Abdullah bin Uraiqith Al-Laitsy (ketika peristiwa Hijrah, Kafir Quraisy mengancam untuk membunuh Rasulullah, malah pembesar Quraisy menawarkan hadiah yang sangat lumayan bagi sesiapa yang berjaya membunuh Rasulullah. namun, Abdullah bin Uraiqith Al-Laitsy tidak belot atau termakan dengan tawaran-tawaran tersebut.)

    wallahualam, semoga Allah pelihara umat ini dari perpecahan dan semoga Allah satukan hati-hati kita.