|

“Friday Night with Kulliyyah of Science” IIUM dan ISMA New Zealand

AUCKLAND, 6 Mei – Sekitar 50 orang warga Auckland telah menghadiri program Friday Night with Kulliyyah of Science anjuran bersama Kulliyyah of Science (KOS), International Islamic University Malaysia (IIUM) cawangan kampus Kuantan dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) New Zealand cawangan Auckland.

Berlainan dengan program mingguan Friday Night yang dianjurkan sebelum ini, program kali ini bertambah istimewa dengan kehadiran dua tetamu daripada KOS IIUM iaitu Dr. Tengku Haziyamin Tengku Abdul Hamid (Timbalan Dekan Bahagian Akademik) dan Prof. Madya Dr. Shafida Abdul Hamid (Ketua Jabatan Sains Bioperubatan) yang juga telah melakukan lawatan kerja ke universiti terpilih di Sydney, Australia sejak 3 Mei yang lalu.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah di surau The University of Auckland, diikuti oleh kata-kata aluan oleh Ketua Perhubungan ISMA New Zealand Kawasan Auckland merangkap Biro Media ISMA New Zealand iaitu Sdr. Shariful Fadzli Md Hanafiah dan bacaan surah Yasin yang diselenggarakan oleh Sdr. Anas Ibrahim.

Program diteruskan di dewan HSB2 The University of Auckland dengan sesi taklimat oleh Dr. Tengku Haziyamin berkenaan latarbelakang, perancangan akademik serta peluang kerjaya di KOS IIUM.

Program diakhiri dengan sesi temuduga yang bertujuan untuk mencari calon-calon untuk diserapkan sebagai tenaga pengajar di KOS IIUM di mana seramai 12 orang calon telah dipilih untuk menghadiri sesi temuduga tersebut yang berlangsung selama satu setengah jam.

 

Sumber: Laman Web ISMA New Zealand