|

SMART Camp II Sarawak membangun kecemerlangan diri

MATANG, 25 Mac – Biro Belia Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Kuching telah mengadakan program SMART Camp II bertempat di Pusat Hidupan Liar Matang, Matang.

Seramai 26 orang peserta dan ahli jawatankuasa telah menjayakan program tersebut yang terdiri daripada pelajar-pelajar UNIMAS, UiTM Kota Samarahan dan Institut Perguruan Tun Abdul Razak, Kota Samarahan.

Program ini bertujuan untuk membangunkan individu ke arah kecemerlangan diri, menyeimbangkan jati diri, mental, kerohanian dan kecergasan fizikal, dan mengharmonikan diri dengan alam semulajadi serta mengeratkan jalinan silaturahim sesama peserta.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah i-Explorace, ‘The War Begins’, ‘React and Respond’ dan pengisian i-SMART yang bertujuan menguji fizikal dan mental para peserta serta mendidik para peserta tentang kepentingan beramal Islami secara syumul meliputi semua aspek kehidupan.

Para peserta juga dilatih untuk mematuhi arahan, penjagaan masa dan disiplin selain  didedahkan kepada konsep bekerjasama, berfikir secara kritis dan kreatif, berdikari dan berlapang dada.

Rata-rata peserta memberikan maklumbalas positif terhadap progam ini dan meletakkan harapan agar ia dapat memberikan impak yang lebih besar pada masa akan datang.

Sumber: Laman Web ISMA Sarawak