|

ISMA gesa pihak-pihak Islam sepakat perkukuhkan kuasa tawar-menawar umat

KUALA LUMPUR, 26 Mac - Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa agar kumpulan-kumpulan Islam di negara ini khususnya di kalangan bangsa Melayu mencari titik persepakatan bagi memperkukuhkan kuasa tawar-menawar umat demi memastikan orang Islam berada di kedudukan yang lebih kuat.

“Matlamat memperkukuhkan kuasa tawar-menawar ini sepatutnya menjadi asas pendirian politik kumpulan-kumpulan Islam di Malaysia,” tegas Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

“Justeru itu, ISMA bertekad untuk menjadikan agenda utamanya untuk menyebarkan thaqafah kesatuan di kalangan orang Melayu. Banyak kesamaan yang kita miliki, yang berbeza cuma dari segi politik. Oleh yang demikian saya menyeru semua pihak kembali kepada memahami politik Islam, politik beretika dan politik berasaskan kepentingan ummat.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar yang bertemakan Melayu Sepakat Islam Berdaulat sempena Mesyuarat Agung Tahunan ISMA kali ke-12 yang telah berlangsung di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini hari ini.

Menurut Ustaz Abdullah Zaik, berdasarkan fiqh di zaman tiada pemerintahan Islam (dari aspek syarak) di mana kita tidak memiliki kuasa politik Islam yang sempurna, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memelihara usul syariat dan maslahah Muslimin.

“Maka pegangan kita ialah mewujudkan terma persefahaman antara pihak-pihak Islam khususnya dalam isu-isu berkaitan agama, bangsa dan masa depan negara yang mengizinkan kita membentuk kuasa tawar-menawar yang kuat.”

Beliau turut mengakui bahawa kesatuan Islam di negara ini adalah suatu yang masih jauh dan tidak realistik. Apatah lagi dalam keadaan orang Melayu Islam yang merupakan kelompok majoriti menghidap pelbagai jenis kelemahan dan tidak memahami Islam dengan baik, maka mengandaikan mereka akan mendokong dengan kuat agenda Islam adalah tidak munasabah.

“Dalam situasi di mana nilai-nilai barat masih membatasi kehendak kita dan ancaman-ancaman pihak dalaman yang cuba mengambil kesempatan daripada pengaruh tersebut, menjadi kewajipan setiap Muslim sama ada individu atau organisasi, berusaha untuk mempertahankan persepakatan umum dalam hal-hal yang menjamin maslahah umat dan mengurangkan kesan buruk dari ancaman-ancaman tersebut.”

Dalam ucapannya, Presiden ISMA juga mendesak blok-blok politik supaya mengambil kira perasaan orang Islam dalam melayan apa-apa tuntutan dari mana-mana pihak.

“Jangan kerana hendak mengambil hati orang bukan Islam maka perasaan orang Islam tidak dipedulikan. Alangkah baiknya jika dalam manifesto parti-parti politik dan NGO-NGO orang Melayu, mereka berlumba-lumba untuk mengemukakan siapa yang lebih baik agendanya untuk agama, bangsa dan negara.”

“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”

Oleh: Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA