|

ISMA Australia jayakan Sambutan Maulidur Rasul VMPGA & Kg Vic North

GLENROY – ISMA Australia telah menjayakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran VMPGA dengan kerjasama Kg Vic North yang bertempat di Belle Vue Park Primary School, Glenroy. Majlis tersebut mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan di mana lebih kurang 150 tetamu hadir untuk memeriahkan majlis tersebut.

Kemuncak majlis tersebut ialah sesi forum Maulidur Rasul yang terdiri daripada tiga orang panelis, Ustaz Khairul Anuar Mohamad al-Hafiz (Kg Vic North), Prof Madya Dr Zakuan Zainy Deris (Kg Vic North) dan Dr Ihsanuddin Abbas (ISMA Australia). Turut bersama ialah saudara Muhammad Zaim dari Ehsan Victoria sebagai moderator.

Antara isi-isi menarik forum tersebut adalah kelemahan umat Islam kini disebabkan oleh rancangan musuh-musuh Islam. Sebagai contoh, perkembangan hiburan yang pelbagai di dunia sekarang sebenarnya dirancang dengan baik di mana filem, muzik dan juga laman sesawang dilihat semakin hari semakin berani mononjolkan bahan lucah dan tidak sopan.

Dari segi penyebaran juga, kita lihat bahan-bahan hiburan kini semakin mudah untuk diakses melalui televisyen, komputer dan radio yang semakin mampu dimiliki. Di samping itu, berlaku juga “revolusi seks” sebagaimana yang dilabel Dr Zakuan di mana seks yang salah ditonjolkan sebagai perkara-perkara biasa. Sebagai contoh, “prostitute” sekarang diistilahkan sebagai “sex worker”.

Para panelis juga menyimpulkan bahawa satu-satunya solusi untuk masalah umat Islam sekarang ialah kembali kepada Islam yang sebenar yang ditunjukkan oleh Nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W. Bagaimana? Mulakan dengan mencari ilmu-ilmu Islam. Islam yang kita belajar di sekolah-sekolah adalah sangat minimal dan tidak mencukupi untuk memastikan kita dapat menjadi individu Muslim yang sempurna. Setelah itu, hendaklah ilmu itu diamalkan dan juga disebarkan kepada orang lain seperti sunnah terbesar Nabi Muhammad S.A.W yakni dakwah. Dakwah dapat menjadi medium untuk membentuk suasana penyampaian ilmu Islam dan juga mengingatkan sesama Muslim yang sering kali terlupa dan lalai.

Sumber:  Laman Web ISMA Australia