|

Umat Islam diseru contohi Rasulullah lakukan amar makruf nahi mungkar

SEREMBAN, 15 Februari – Umat Islam hari ini diseru untuk kembali kepada perkara asas yang melayakkan mereka menjadi umat terbaik iaitu dengan melakukan amar makruf nahi mungkar, bagi mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW, tegas Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman.

Beliau yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah sempena Majlis Perarakan Maulidur Rasul yang dijalankan di Surau As-Salam, Taman Panchor Jaya di sini.

“Amat menarik sekali ayat 110 dalam surah Ali-Imran ini Allah mengungkapkan syarat melakukan amar makruf dan mencegah kemungkaran terlebih dahulu kemudian barulah disebut beriman kepada Allah. Ini menunjukkan kepentingan “amar makruf nahi mungkar” ini yang telah amat kurang difahami maksud dan perlaksanaannya di kalangan masyarakat Islam hari ini.”

Ustaz Hazizi turut mengingatkan para hadirin yang mencecah 200 orang supaya kembali menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dalam kehidupan.

“Kita telah menerima hidayah Islam seterang mentari pada pagi ini, hasil usaha dan pengorbanan Rasulullah” ujar beliau.

Program ini turut diserikan dengan persembahan nasyid Kelab Anak-Anak ISMA (NAZIM) Seremban. Mereka menyanyikan tiga buah nasyid iaitu Rasul Junjungan, Siratunnabi dan Analisa.

Sumber: Laman Web ISMA Negeri Sembilan