NAZIM Perak anjur program Qiam 2011 yang pertama
IPOH, 3 Mac - Kelab Anak-anak Hebat Ikatan Muslimin Malaysia (NAZIM) cawangan Perak telah mengadakan program Qiam bertempat di rumah Ustazah Afifah, ahli ISMA Perak, yang melibatkan seramai 31 peserta.
Program ini yang dianjurkan pada 26 hingga 27 Februari telah mengumpulkan para peserta yang tediri daripada ahli-ahli NAZIM dari seluruh kawasan di negeri ini dan bertujuan untuk mendedahkan para peserta kepada cara-cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, menerangkan kepentingan beriadah dan seterusnya membina hubungan silaturahim sesama peserta.
Para peserta telah berkumpul di rumah Ustazah Afifah lebih kurang pada jam 7.00 malam dan memulakan aktiviti dengan menunaikan solat Maghrib berjemaah dan membaca Ma’thurat.
.
Selain daripada program qiamullail (bangun malam) dan penerangan mengenai kepentingannya, antara aktiviti yang telah dijalankan termasuklah pengisian mengenai sifat-sifat mahmudah dan mahmudah, aktiviti bertadarus, sesi tazkirah dan aktiviti sukaneka air di kolam renang Majlis Bandaraya Ipoh.
Menurut pengerusi NAZIM Perak, Puan Nor Najiyah, para peserta yang hadir tidak mempunyai masalah untuk dikejutkan dari tidur walaupun mereka terpaksa bangun seawal 4.45 pagi.
NAZIM Perak telah merancang untuk mengadakan program Qiamullail seperti ini sebanyak 4 kali pada tahun 2011.
Sumber: Laman Web ISMA Perak




